PETALING JAYA: Enrich, program kesetiaan Malaysia Airlines, merangkul tujuh anugerah pada Loyalty & Engagement Awards 2023 baru-baru ini, menonjolkan komitmen terhadap kecemerlangan dalam memberi ganjaran kepada ahlinya.
Kemenangan itu terdiri daripada empat anugerah emas untuk Program Keahlian Terbaik, Strategi Kesetiaan Terbaik – Perjalanan dan Hospitaliti, Perkongsian Terbaik dalam Program Kesetiaan dan Strategi Penglibatan Terbaik Perniagaan-Kepada-Pengguna (B2C).
Turut dimenangi adalah dua anugerah perak untuk Program Kesetiaan Berasaskan Kad Terbaik dan Penggunaan Terbaik Ganjaran dan Insentif serta gangsa untuk Penggunaan Terbaik Pemasaran Langsung.
Ketua Pegawai Eksekutif Kesetiaan dan Penyelesaian Perjalanan Malaysia Aviation Group, Philip See berkata, Enrich telah bertahun-tahun memulakan perjalanan transformasi yang luar biasa untuk menjadikan sebagai program kesetiaan holistik untuk semua keperluan pelanggan.
Katanya, syarikat berbesar hati menerima pengiktirafan industri ini yang tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh ahlinya.
“Syarikat kekal komited dalam meningkatkan perjalanan ahli kami dan menyampaikan pengalaman yang menakjubkan.
“Kami berharap dapat menarik mereka lagi dengan tawaran yang lebih menarik untuk memenuhi semua keperluan perjalanan dan gaya hidup mereka,” katanya dalam kenyataan.
Anugerah tersebut memberi pengiktirafan kepada strategi pemasaran kesetiaan terbaik di rantau Asia Selatan, Asia Tenggara, Australia dan New Zealand serta dinilai oleh panel bebas yang terdiri daripada pemasar kanan, pelanggan dan pakar kesetiaan.
Tambahnya, untuk meraikan pencapaian ini, Enrich menawarkan promosi eksklusif untuk iaitu ahli layak menerima mata Enrich berganda dan mata Elite berganda untuk setiap pembelian tiket penerbangan ke mana-mana destinasi dalam rangkaian Malaysia Airlines mulai sekarang hingga 31 Julai.
Jelasnya, promosi ini membolehkan mereka melayakkan diri, mengekalkan atau mempercepatkan status peringkat Elite mereka dengan lebih pantas berbanding sebelum ini.
Selain itu, ahli yang membeli di Enrich Hotel, Enrich Xperience atau Temptations semasa tempoh promosi ini juga akan menerima mata Enrich tiga kali ganda bermula kini hingga 30 November ini. – UTUSAN










