Daythree Digital tumpu pertumbuhan sektor GBS

Daythree Digital tumpu pertumbuhan sektor GBS

PENYENARAIAN Daythree Digital di Bursa Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan perniagaan global (GBS) yang dipacu oleh teknologi, Daythree Digital Berhad (Daythree Digital) bersedia merebut peluang dalam pertumbuhan sektor GBS di Malaysia berikutan kejayaan penyenaraiannya meraih RM33.1 juta bagi mempercepat pengembangan perniagaan.

Daythree Digital yang menumpukan penawaran GBS kendaliannya bagi perkhidmatan pengurusan kitaran hayat pengalaman pelanggan (CX), sedang mengembangkan operasi sedia ada untuk memanfaatkan prospek positif sektor GBS di Malaysia yang dijangka berkembang lebih daripada 6 peratus setahun dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut syarikat itu, sebanyak 380 eksekutif CX akan direkrut oleh Daythree Digital bagi memberi perkhidmatan kepada pelbagai sektor termasuk tenaga dan utiliti, telekomunikasi dan media, teknologi kewangan dan perkhidmatan kewangan, pembinaan, e-dagang dan peruncitan, teknologi kesihatan serta perjalanan dan hospitaliti.

“Daythree Digital menumpukan terutamanya dalam kemudahan sokongan penjagaan pelanggan yang merentasi kedua-dua saluran komunikasi suara dan tanpa suara, dengan menggunakan peralatan digital yang dibangunkan secara dalaman bagi meningkatkan kecekapan serta masa tindak balas, sekali gus menawarkan satu pengalaman jenama yang unik,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Urusan Daythree Digital, Raymond Davadass berkata, susulan kejayaan penyenaraian itu, Daythree Digital kini bersedia untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi penawaran yang sejajar dengan trend global ke arah transformasi digital.

Beliau berkata, kini terdapat keinginan yang ketara untuk mencapai ekonomi digital, yang akan menggalakkan lebih banyak perniagaan bertindak menggunapakai pendigitalan dalam operasi mereka, sekali gus meningkatkan lagi permintaan untuk perkhidmatan GBS.

“Di sinilah peluang bagi penglibatan Daythree Digital. Kami melihat diri sebagai sebuah syarikat teknologi yang menyediakan perkhidmatan yang dipacu oleh teknologi untuk jenama-jenama menggunakan khidmat kami.

“Menerusi pemahaman lebih cekap berkaitan teknologi baharu, kami membantu jenama-jenama ini dalam memanfaatkan teknologi terkini untuk menyampaikan pengalaman pelanggan yang inovatif dan memberi impak serta mencapai objektif kesetiaan jenama mereka,” katanya.

Menerusi tawaran awam permulaan (IPO)nya, Daythree Digital telah menerbitkan sebanyak 110.4 juta saham-saham baharu atau 23 peratus daripada pertambahan modal sahamnya pada RM0.30 sesaham.

Sejajar dengan sebahagian daripada langkah penyenaraiannya, pemegang saham sedia ada dalam Syarikat turut membuat tawaran penjualan sebanyak 12.0 juta saham-saham sedia ada atau 2.5 peratus daripada pertambahan saham menerusi penempatan persendirian.

Berdasarkan permodalan saham yang dipertingkat sebanyak 480.0 juta saham, Daythree Digital akan mempunyai modal pasaran sebanyak RM144.0 juta selepas penyenaraian itu.

Raymond memegang sebanyak 36 peratus kepentingan dalam syarikat itu menerusi Dayspring Capital Sdn. Bhd. daripada 50 peratus sebelum atau pra-IPO, diikuti oleh Cloud Marshal Sdn. Bhd. (23.1 peratus), daripada 30 peratus.

M & A Securities Sdn. Bhd. (M & A Securities) adalah Penasihat, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi langkah penyenaraian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN