KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperkenalkan cukai karbon dalam usaha memacu peralihan tenaga boleh baharu (RE) di negara ini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, cukai karbon akan memainkan peranan yang besar dan perlu dilaksanakan dengan betul.
“Jika tiada pelaksanaan cukai karbon, tingkah laku kita tidak akan berubah dan sukar untuk kita mengurangkan jejak karbon dan beralih kepada RE.
“Namun, ia adalah sesuatu yang perlu dipelajari dengan teliti supaya tidak ada masalah yang timbul nanti. Kementerian Kewangan sedang meneliti perkara tersebut.
“Dalam jangka masa panjang, pelaksanaannya adalah perlu untuk menjadikannya ‘berfungsi’,” katanya dalam Perbincangan Meja Bulat ‘Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional: Menavigasi Peralihan Tenaga – Apa Seterusnya Untuk Malaysia’ anjuran Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF), semalam.
Beliau turut memaklumkan, Malaysia akan melancarkan Pertukaran Tenaga untuk menyokong eksport RE ke negara jiran dan akan diumumkan dalam tahun ini.
“Suruhanjaya Tenaga sedang menyediakan kertas kerja mengenai Pertukaran Tenaga ini untuk kita luluskan di peringkat kerajaan.
“Kami akan melihat beberapa model yang ada dan antara matlamatnya ialah memastikan terdapat RE yang mencukupi untuk dibekalkan dalam negara sebelum dieksport ke luar negara.
“Kita akan pastikan dapat nilai yang terbaik untuk jualan di luar negara seterusnya membolehkan nilai tersebut dilaburkan semula untuk merancakkan sektor RE di Malaysia,” ujarnya.
Bagi menyokong peralihan tenaga di negara ini, Nik Nazmi menjelaskan, Malaysia boleh melihat sumber penjanaan lain seperti hidro skala mini.
“Kita tidak sepatutnya melihat kepada projek hidro berskala besar sahaja. Hidro berskala besar agak bermasalah untuk kita lakukan kerana pertukaran itu terlalu banyak,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia perlu melihat penstoran bateri yang memainkan peranan penting pada masa akan datang dan menjadikan harga RE lebih murah. – UTUSAN










