PETALING JAYA: Cagamas Berhad (Cagamas), Perbadanan Gadai Janji Nasional Malaysia, berjaya memuktamadkan agregat RM3.21 bilion nilai setara dana yang diperoleh.
Menurut Cagamas, dana tersebut terdiri daripada RM390 juta pembiayaan tiga bulan melalui Kertas Komersial Konvensional (CCP), RM100 juta Bon Kemampanan ASEAN berbilang tempoh, pelbagai Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berbilang tempoh bernilai RM1.36 bilion, RM850 juta Nota Jangka Sederhana Konvensional (CMTN) tiga tahun dan Nota Jangka Sederhana Dolar Singapura (SGD EMTN) setahun bernilai SG$150 juta (RM511.95 juta).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chung Chee Leong berkata, permintaan untuk kertas gred pelaburan, sama seperti Cagamas, kekal kukuh, manakala pasaran global berterusan mempertimbangkan prospek pendirian dasar monetari yang lebih lama daripada yang dijangkakan oleh Rizab Persekutuan.
“Hasil yang diperoleh daripada terbitan akan digunakan untuk membiayai pembelian pinjaman perumahan dan pembiayaan rumah Islamik daripada sistem kewangan domestik, mencerminkan penyediaan kecairan berterusan oleh syarikat kepada sistem perbankan domestik.
“Jumlah dana yang diperoleh oleh syarikat berjumlah RM12.97 bilion. Tahun-ke-kini, Cagamas telah memuktamadkan enam terbitan dolar Singapura dan satu terbitan dolar Hong Kong, berjumlah RM2.86 bilion setara dalam mata wang asing,” katanya dalam kenyataan.
Bon denominasi dolar Singapura, yang diterbitkan melalui anak syarikat milik penuh Cagamas, Cagamas Global P.LC. dijamin sepenuhnya dan tanpa syarat oleh Cagamas.
Bagi terbitan ringgit pula, ia akan ditebus pada nilai nominal penuhnya selepas tempoh matang, adalah obligasi tidak bercagar syarikat, berada di kedudukan setara (pari passu) dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada Cagamas. – UTUSAN










