Berkat doa di Tanah Suci mudahkan perjalanan usahawan produk muslimah - Utusan Malaysia

Berkat doa di Tanah Suci mudahkan perjalanan usahawan produk muslimah

AZIRAH bersama beberapa koleksi telekung dan sarung tangan yang dikeluarkan di bawah jenamanya, Azirah Exclusive.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HADIS Riwayat Muslim melalui sabda baginda Rasulullah SAW bahawa doa itu adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama dan nur bagi langit dan bumi.

Hal ini diakui usahawan produk telekung dan sarung lengan muslimah yang juga pemilik Azirah Exclusive, Azirah Che Pa, 51 apabila jika Allah SWT berkehendak ke atas mana-mana hamba-Nya, maka akan termakbullah sesuatu permintaan yang dihajati.

“Sebelum menjadi usahawan, saya terlibat dalam bidang pembelian di sebuah kilang dekat Perai selama 20 tahun.

“Namun, atas sebab-sebab tertentu saya mengambil keputusan untuk memohon Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang ditawarkan syarikat pada tahun 2012 kerana merasakan sudah tiba masanya saya meninggalkan dunia korporat dan ingin beralih ke satu bidang baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabat urusannya di Tasek Gelugor, di sini baru-baru ini.

Dia berkata kehidupan baharu setelah berhenti kerja adalah lebih banyak menguruskan rumahtangga di samping membesarkan tiga orang cahaya mata lelaki yang sedang meniti usia remaja.

“Ketika sudah tidak bekerja, saya ada memikirkan nak buat bisnes. Namun, tiada punca kerana tidak mempunyai kepakaran dan kemahiran apatah lagi mempunyai kemahiran menjahit yang saya rasakan di luar kemampuan ketika itu.

“Jadi, bertitik tolak semasa mengerjakan ibadah umrah pada tahun 2013 bersama suami, saya memanjat doa kepada Allah SWT agar dikurniakan satu kemahiran yang boleh menjana pendapatan kerana ingin membantu keluarga.

“Alhamdulillah, Allah SWT mengangkat doa dengan memberi keizinan-Nya untuk saya berkecimpung dalam dunia jahitan pada tahun 2013 sehinggalah sekarang,” katanya yang mempunyai latar belakang pendidikan Diploma Eksekutif Pengurusan Logistik dan Strategi Rantaian Bekalan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor.

Katanya ketika awal pembabitan dalam dunia perniagaan, dia banyak mengikuti kursus jahitan jangka pendek secara peribadi iaitu secara dalam talian selain turut mengikuti kursus kemahiran jahitan melalui agensi kerajaan antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kolej Komuniti Kepala Batas dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi meningkatkan kemahiran dalam asas jahitan.

“Pada awalnya kerja-kerja jahitan hanyalah dilakukan di rumah. Ketika itu saya hanya jahit tudung labuh untuk dipakai sendiri. Tak sangka pula, ada ahli keluarga berminat dengan tudung yang saya jahit seterusnya mendorong mereka untuk membuat tempahan.

“Dipendekkan cerita, lama-kelamaan saya cuba untuk mempelbagaikan kemahiran dengan menjahit telekung, telekung mini dan sarung tangan yang dilakukan dengan lebih fokus sehinggalah mampu membuka sebuah pejabat urusan di sini yang juga berperanan sebagai bengkel menjahit tahun lalu.

“Bagi memastikan ilmu perniagaan sentiasa berkembang, saya turut mengikuti kursus keusahawanan di bawah agensi kerajaan seperti MARA, KEMAS, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Zakat Pulau Pinang (ZPP), SME Corporation Malaysia (SME Corp), Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan juga Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM),” katanya yang baharu sahaja dinobat sebagai Ikon Usahawan Pulau Pinang KEMAS 2023, baru-baru ini.

Dia yang mempunyai pekerja seramai dua orang berkata, berkat kesabaran serta perit jerih mengusahakan perniagaan akhirnya produk keluarannya mendapat sambutan memberangsangkan selain turut mempunyai pelanggan tetap.

“Jika sebelum ini kebanyakan telekung dan telekung mini dikeluarkan berdasarkan kepada jumlah tempahan, kini kami telah keluarkan telekung dan telekung mini secara siap pakai.

“Dalam sebulan kami akan hasilkan 100 pasang telekung manakala telekung mini pula sebanyak 130 helai. Bagi sarung lengan pula kami keluarkan dalam 100 pasang. Harga pula masing-masing bernilai RM149, RM110 dan RM15 yang didatangkan dengan beberapa jenis warna.

“Malah, kami juga ada tawarkan telekung ekonomi berharga RM90 sepasang,” tambahnya lagi.

Ditanya mengenai cabaran sepanjang pembabitannya dalam dunia perniagaan, Azirah berkata insiden yang tidak dapat dilupakan ialah apabila pernah berdepan dengan pelanggan yang disifatkan ‘tidak serius’ dalam urusan jual beli.

“Mungkin itu perkataan yang sesuai digunakan kerana pelanggan tersebut membuat beberapa helai tempahan tudung, namun apabila tiba hari untuk pembayaran, pelanggan tersebut mendiamkan diri sehingga sekarang. Saya beranggapan itu adalah rencah dalam dunia perniagaan.

“Sekurang-kurangnya insiden tersebut membuka mata saya untuk lebih berhati-hati dalam berdepan pelbagai jenis karakter pelanggan selain mengawal selia aliran kewangan yang keluar masuk bagi memastikan perniagaan tidak terjejas,” katanya.

Azirah menambah, selain keizinan-Nya dan sokongan keluarga, perniagaan yang diusahakan itu turut mendapat sokongan dari agensi-agensi kerajaan terlibat apabila menganugerahkan geran dan menyumbang peralatan jahitan seperti kit menjahit, mesin jahit, seterika wap dan lain-lain perkakasan bagi melancarkan operasi perniagaan.

“Syukur sangat atas sokongan yang diberi kerana ia sedikit sebanyak mendorong saya untuk lebih maju dalam diri dan kehidupan selain ingin memberikan kepuasan terhadap pelanggan terhadap produk yang dihasilkan,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya