SUBANG JAYA: Berjaya Land Berhad (Berjaya Land), bersama Yayasan My First Home (YMFH) mengadakan majlis pecah tanah untuk Rumah Mampu Milik Berjaya Flagship (BFAH), sebuah inisiatif rumah mampu milik Rumah Selangorku (RSKU).
Pengerusi YMFH dan Pengasas Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan berkata, pembinaan rumah tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam menyediakan rumah mampu milik yang menjadi isu utama di negara ini.
Katanya, kos perumahan yang semakin meningkat menyukarkan ramai orang terutamanya B40 untuk membeli rumah.
“Banyak keluarga berpendapatan rendah juga dikurniakan beberapa anak dan memerlukan lebih daripada tiga bilik untuk menempatkan semua orang di bawah satu bumbung.
“Unit yang lebih luas yang ditawarkan di bawah projek BFAH akan memberikan kemudahan kepada keluarga ini,” katanya pada majlis pecah tanah tersebut di Subang Hi-Tech Industrial Park, hari ini.
Yang turut hadir,h Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Sementara itu, Vincent berkata, BFAH menawarkan ciri unik untuk memenuhi keperluan pembeli rumah moden dengan ukuran unit seluas 900 kaki persegi serta susun atur lima bilik dan empat bilik air yang sesuai untuk keluarga dalam apa jua saiz.
Tambahnya, pembangunan tersebut dijual pada harga RM250,000 seunit yang memberikan peluang baik kepada individu dan keluarga untuk memiliki rumah ideal mereka pada harga yang berpatutan sambil mengekalkan kualiti `luar biasa.’
“Pembangunan ini juga tampil dengan konsep dwi kunci yang inovatif, membolehkan pemilik untuk memaksimumkan penggunaan ruang dan menyesuaikan susunan hidup mereka agar sesuai dengan mereka keperluan khusus.
“Selain itu, pemilik juga boleh menyewakan bilik dengan kunci berasingan bagi membantu mereka mendapatkan pendapatan tambahan bagi membayar pinjaman rumah mereka,” ujarnya.
Beliau berharap kerajaan dapat mengambil kira konsep yang diperkenalkan dalam BFAH ini dalam projek kerajaan supaya dapat membina rumah yang memenuhi keperluan masyarakat terutamanya golongan B40. – UTUSAN










