SEMUA orang mendambakan untuk memiliki rumah sendiri yang boleh didiami seisi keluarga.
Namun, pernahkah anda terfikir adakah anda benar-benar sudah bersedia untuk membeli rumah dan mengikat komitmen bertahun-tahun lamanya?
Pasti ada yang sudah bersedia dan ada juga yang sebenarnya masih belum betul-betul sedia untuk menanggung komitmen besar itu.
Jadi, dalam keluaran RINGGIT kali ini, anda boleh teliti 10 perkara yang disenaraikan oleh pakar hartanah, Ihsan Zainal bagi menentukan adakah anda bersedia untuk membeli rumah ataupun sebaliknya.
Mengharapkan zero deposit
Walaupun memang terdapat skim yang membolehkan anda memiliki rumah dengan 100 peratus pinjaman, sebenarnya wang deposit tempahan masih diperlukan, dan deposit tersebut hanya akan dipulangkan selepas permohonan pinjaman anda diterima atau ditolak.
Lewat bayar sewa rumah
Jika anda masih menyewa namun culas membayar duit sewa bulanan dan meminta tangguh daripada tuan rumah, ini bermakna anda masih belum benar-benar mampu untuk memiliki rumah. Mana tidaknya, jika anda membeli rumah, duit ansuran bulanan perlu dibayar pada pihak bank tanpa culas dan tiada istilah tangguh.
Tidak tahu ansuran bulanan yang sanggup dibayar
Jika anda masih belum menetapkan ansuran bulanan yang sanggup dibayar, mungkin anda perlu menangguhkan hasrat memiliki rumah sendiri. Apabila melakukan semakan pinjaman mungkin lulus, namun konitmen dan perbelanjaan bulanan paling penting untuk dikira sebaiknya.
Mengharap rebat tunai
Masih mengharapkan tambahan pinjaman atau rebat tunai bagi pembiayaan yuran guaman serta kos perjanjian pembiayaan. Semua ini ada kiraannya termasuk kadar faedah dan kesannya sangat besar kerana anda membeli rumah pada harga yang lebih daripada sepatutnya.
Tiada pendirian untuk jenis atau lokasi rumah
Sebaiknya,anda perlu mengetahui rumah yang sesuai untuk keluarga contohnya jenis rumah, lokasi rumah dan sasaran sama ada untuk pelaburan atau mahu menjadikan rumah yang ingin dibeli itu kediaman selepas persaraan kelak. Ini kerana, apabila anda tiada pengalaman membeli rumah, anda hanya mengharapkan orang lain membuat keputusan untuk anda.
Tiada perlindungan diri dan dana kecemasan
Sebagai persediaan paling baik, anda perlulah mempunyai perlindungan seperti takaful dan dana kecemasan sekurang-kurangnya enam hingga 12 bulan. Ini memudahkan anda sekiranya mahu melakukan pengubahsuaian dan sebagainya setelah memiliki rumah nanti.
Masih berteka-teki waktu sesuai beli rumah
Sekiranya anda masih berteka-teki sama ada mahu menunggu harga rumah turun seperti mana ramalan di media arus perdana dan media sosial, lupakan sajalah dahulu hasrat anda. Hakikatnya, harga rumah sukar untuk turun malah terus meningkat mengikut pelbagai faktor seperti bahan mentah, penilaian tanah, upah pekerja dan lain-lain.
Hanya ikut trend kehidupan masa kini
Jangan membeli rumah hanya dengan pelbagai fasiliti kerana anda mahu mengikut trend kehidupan masa kini tanpa mengira kos penyelenggaraan yang tanpa sedar anda jarang menggunakannya. Gaya hidup seperti mahukan rumah dengan kolam renang dan gim sebenarnya adalah jerat oleh pihak pengurusan sedangkan anda sendiri tidak berkesempatan menggunakannya kerana pulang lewat dari tempat kerja.
Percaya ejen yang menawarkan diskaun tidak masuk akal
Anda tidak boleh menaruh kepercayaan tinggi kepada orang sekeliling atau ejen hartanah yang menawarkan rebat atau diskaun tidak masuk akal, sedangkan kawasan tersebut tidak berpotensi untuk disewakan atau dijual kembali kerana masalah struktur, kemudahan atau tidak berdaya saing.
Menggunakan pinjaman peribadi untuk urusan beli rumah
Menggunakan pinjaman peribadi untuk pembelian rumah adalah cara terakhir seseorang apabila ketiadaan dana lebihan bagi pembelian hartanah. Tidaklah salah cara tersebut, tapi kadar faedah yang lebih tinggi ini tidak akan menguntungkan anda di kemudian hari.
Justeru, walau apa pun keputusan anda, harus diingat bahawa anda yang akan menanggung bebanan hutang selama berpuluh tahun dan bukannya orang lain. Oleh itu, amat penting bagi anda untuk menyemak semula kesediaan anda sebelum membuat keputusan yang besar ini. – UTUSAN










