
Kebolehan bantuan pemanduan elektronik ini sekiranya diketengahkan 10 atau 15 tahun dulu, mungkin anda akan mengatakan saya sedang menceritakan sebuah cerita fantasi atau futuristik. Hakikatnya, pada masa kini, daripada kereta-kereta mewah dan eksklusif dari Eropah, sehinggalah ke kereta-kereta yang diedarkan oleh pembuat kereta nasional kita seperti Proton dan Perodua telah mempunyai teknologi-teknologi sedemikian dan telah pun terjual dalam pasaran.
Akibat daripada ‘keperluan’ ini, Volkswagen membuat perubahan terhadap salah satu varian mereka iaitu ARTEON R-LINE.
RUPA BENTUK FIZIKAL
Dari segi rekabentuk, ianya seolah-olah tidak berubah daripada model tahun lepas. Ketika diperkenalkan pada pasaran tempatan, Arteon ini agak dikecam kerana selain daripada rupa bentuknya yang sporty dan premium, ianya tidak didatangkan dengan sistem bantuan pemanduan elektronik yang pada ketika itu, kereta-kereta dari Eropah sudah mula memperkenalkannya pada model-model seangkatan.

Bagi tahun 2023 ini, Arteon kembali dengan dilengkapi sistem-sistem tersebut dan penambahan nama IQ DRIVE telah diletakkan sebaris dengan nama model tersebut.
Tidak dapat dinafikan, Arteon versi baharu ini mempamerkan rekaan yang menarik. Rendah, panjang dan tampak eksklusif, hanya daripada pemerhatian luar. Dilengkapi pula dengan lampu-lampu LED dan DRL hadapan serta lampu LED 3D belakang yang menyala secara tersusun ketika mematikan sistem penggera. Karektor lampu isyarat yang seperti bertali arus juga turut membuat orang sekeliling mengangkat kening melihatnya.
Roda-roda bersaiz 19 inci, turut melengkapkan rupa bentuknya yang bagi saya sebaris dengan kereta-kereta sports mewah seperti Audi A5 atau BMW M5. Fakta ini agak menakjubkan bagi saya kerana sekiranya mengingatkan pengenalan peribadi pertama saya terhadap jenama Volkswagen adalah pada model ‘Beetle’ jiran sebelah rumah saya ketika akhir 70an. Malah, kalau Volkswagen versi sports pula saya hanya boleh teringat kepada model hatchback GTi di tahun 2014. Model-model VW selepas itu seolah-olah hanya berlalu pergi di depan saya kerana tidak begitu tertarik pada rekabentuk dan imej yang ditawarkan.
Melangkah pula masuk ke dalam kabin kereta, perkara pertama yang anda akan perasan ialah pintunya yang menggunakan rekaan frameless atau tanpa bingkai cermin. Mengingatkan saya pada kereta-kereta rekaan dari Amerika Syarikat seperti Mustang, Cheverolet dan sebagainya. Satu markah dicatitkan walau sebelum melangkah masuk ke dalam kereta!
Punggung anda disambut dengan kerusi yang empuk bersalut kulit, sudah tentunya melambangkan ciri-ciri kemewahan yang diinginkan oleh rakyat Malaysia. Namun bagi saya, penggunaan rekaan tempat duduk yang seperti bucket seat agak membuat saya tertarik. Umum mengetahui bucket seat atau kerusi kereta perlumbaan memberikan pemandunya satu kedudukan yang utuh dan tidak menggelosor. Dengan ciri-ciri ini, bayangkan bucket seat tersebut disaluti dengan kulit yang termahal serta disulami dengan ciri-ciri carbon fibre dan kusyen yang empuk. Mengadunkan ciri-ciri perlumbaan dan premium bukanlah satu perkara yang mudah namun berjaya dilakukan oleh Arteon.

Papan pemuka yang merangkumi meter TFT, stereng yang lengkap dengan tombol-tombol untuk mengemudi sistem bantuan pemanduan dan sistem infotainmen. Malah, ini baru kali pertama saya diperkenalkan dengan sistem swipe pada kawalan bunyi audio dan kawalan sistem penghawa dingin. Hanya perlu swipe jari anda untuk menguat atau memperlahankan audio atau A/C anda! Satu lagi markah dicatit.
Perasaan kemewahan terhadap ruang kabin Arteon tidak dapat dinafikan langsung namun, dalam pada itu, perasaan anda sedang memandu sebuah kereta sport juga dapat dirasa di hujung-hujung perasaan tersebut. Sangat jarang saya dapat rasakan perasaan ini dalam satu-satu model kenderaan yang cuba menggabungkan kedua-dua elemen ini.
Seperti mana-mana kenderaan baharu masakini, tombol-tombol elektronik boleh dikatakan ‘melambak’ dalam kabin tersebut, samada untuk keselesaan kedudukan pemandu dan penumpang, mahupun untuk sistem audio yang menggunakan corong speaker berjenama Harman Kardon. Bunyi bass daripada lagu-lagu yang tersiar dalam radio tempatan ternyata memberikan kepuasan pada halwa telinga anda.
Markah penuh untuk ruang kabin Arteon ini.
PEMANDUAN
Di sinilah sebenarnya ARTEON mula menunjukkan taringnya. Hakikatnya, bukan semua pemandu adalah pelumba kereta rally atau formula 1. Namun, setiap pemandu mempunyai saat dan ketikanya apabila menginginkan situasi-situasi tersebut. Enjin ARTEON 2.0 lengkap dengan kuasa turbo, menjanjikan penghantaran kuasa yang sangat efisien setinggi 280PS, serta kuasa tork yang dapat dirasai ketika RPM serendah 1,700 untuk kuasa tujahan pada tahap rendah dan sederhana.

Mempunyai enjin yang berkuasa sebenarnya tidak menjanjikan penghantaran kuasa tersebut dapat disempurnakan dengan betul, namun penggunaan ALL WHEEL DRIVE iaitu keempat-empat rodanya berfungsi secara serentak membolehkan penghantaran kuasa enjin ke roda seolah-olah serta-merta!
Sistem seleksi mode pemanduan membolehkan anda menukar profil pemanduan anda sendiri, samada ingin memandu secara ekonomi atau lebih sporty atau lebih kepada jenis santai. Arteon ini boleh melakukannya dengan hanya menekan butang mode pemanduan yang terletak di sebelah tombol gear. Mudah dan praktikal.
Namun, dalam keseronokan memandu Arteon ini, saya tidak dapat menolak ke tepi tentang satu fakta yang sangat menarik ketika memandu ujinya. Penggunaan bahan api yang berada dalam tangki petrol sebesar 66 liter, purata penggunaan sebanyak 7.41 liter dalam setiap 100km. Kapasiti bahan api dalam tangkinya membolehkan Arteon dipandu sejauh 850km, lebih kurang sama jaraknya anda memandu dari Perlis ke Johor dengan hanya sekali isi penuh.

KESIMPULAN
Masih banyak ingin saya sampaikan tentang kehebatan Arteon IQ drive ini, namun ruangannya sangat terhad. Sebagai penutup, saya sangat tertarik dan kagum dengan model ini yang saya jangkakan seperti memandu sebuah kereta sedan mewah sahaja.
Begitu pun, peningkatan lebih kurang RM23,000 daripada model sebelumnya agak sedikit menaikkan kegusaran terhadapnya. Setelah menguji pandunya selama hampir seminggu, tanda harga RM 299,990 tersebut ternyata membuat sesiapa pun kembali ke alam nyata setelah diangkat ke awang-awangan ketika berada di dalam kabinnya. – UTUSAN











