PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menubuhkan Bahagian Kelestarian sebagai inisiatif terbaru memacu pelaksanaan strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bermula semalam.
TNB dalam satu kenyataan berkata, Ketua Pegawai Risiko (CRO) TNB, Leo Pui Yong dilantik sebagai Ketua Pegawai Kelestarian (CSO) pertama berkuat kuasa 1 Jun 2023.
Menurut TNB, Pui Yong bertanggungjawab memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus kelestarian serta pelaksanaan berkesan strategi dan inisiatif kemampanan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, langkah itu sekali gus mengukuhkan komitmen kemampanan kumpulan dan Peralihan Tenaga (ET) yang bertanggungjawab.
Beliau berkata, bahagian baharu itu bakal berperanan memacu agenda kelestarian TNB dengan berpaksikan kepada tiga tonggak strategik iaitu sumber tenaga, vektor tenaga dan penggunaan tenaga.
“Bagi memacu Pelan Peralihan Tenaganya, TNB mewujudkan Rangka Kerja Peralihan Tenaga bersepadu bagi memandu kumpulan menuju masa depan lebih mampan di sepanjang rantaian nilai elektriknya dengan bertunjangkan tiga tonggak tersebut.
“Dalam hala tuju kelestarian, TNB menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan aspirasi ini disokong oleh komitmen mengurangkan intensiti pelepasan karbon kepada 35 peratus serta kapasiti penjanaan arang batu kepada 50 peratus menjelang 2035,” katanya.
Mengulas lanjut, Baharin berkata, 2023 terus menjadi satu lagi tahun yang menarik dalam usaha TNB mencapai aspirasi Sifar Bersih 2050.
“TNB telah menerima lonjakan permintaan untuk bekalan voltan tinggi terutamanya daripada syarikat pembuatan dan Pusat Data Besar (hyperscale DC) dengan potensi maksimum sebanyak 4,300 megawatt (MW).
“Ini termasuk pelaburan DC oleh syarikat antarabangsa utama dengan permintaan maksimum 760 MW terutamanya di Selangor dan Johor dan bagi memenuhi permintaan DC, TNB telah menubuhkan Pusat Sehenti (OSC) demi memastikan proses yang lancar dan mesra perniagaan,” katanya.
Ujar beliau, TNB melihat perkara itu sebagai pertumbuhan permintaan dan peluang perniagaan yang berpotensi memberi kesan berganda kepada ekonomi, menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak USD43 bilion menjelang 2035 dan pelaburan TBB di Malaysia,” katanya. – UTUSAN