PETALING JAYA: Lebih 1,000 penjual Malaysia di platform Shopee menyertai Shopee Seller Summit yang membincangkan tentang pemasaran berasaskan nilai.
Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, sambutan untuk Shopee Seller Summit kali ini sangat memuaskan dengan tiket ke sidang kemundak itu dapat dijual dengan pantas.
Beliau berkata, pihaknya cuba menganjurkan persidangan itu setiap tahun, namun terpaksa dihentikan seketika akibat pandemik Covid-19.
Katanya, Shopee Seller Summit diadakan untuk membolehkan pihaknya berkomunikasi dengan penjual di platform Shopee serta memaklumkan perkembangan semasa mengenai perniagaan syarikat.
“Selain itu, penjual juga boleh mengambil peluang membina hubungan sesama sendiri untuk tujuan perniagaan.
“Setiap tahun, beribu penjual menjalin hubungan (networking) dan mempelajari sesuatu yang baharu untuk berkembang di Seller Summit kami,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Pengarah Shopee Malaysia, Cheng Xun Chua pula berkata, inisiatif platform itu pada tahun ini menumpukan kepada kemajuan penjual Malaysia.
Ujarnya, Shopee akan mengukuhkan keupayaan logistik dan pembayaran, selain mengutamakan pemeliharaan jenama dengan menambah baik pengalaman membeli-belah pelanggan berasaskan nilai.
“Dengan Shopee 360 Marketing Solutions, kami membekalkan platform solusi pemasaran komprehensif dan menyeluruh termasuk pelbagai khidmat dan fungsi perniagaan bagi membantu penjual meningkatkan jualan dan profil mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi MDEC, Datuk Fadzli Abdul Wahit berkata, pihaknya percaya inisiatif Shopee itu akan menyumbang kepada pemahaman yang lebih baik mengenai platform e-dagang dan menggalakkan inovasi serta persaingan
“Ambil peluang ini untuk meningkatkan kemahiran dan mengembangkan rangkaian perniagaan anda,” katanya.
Tahun ini merupakan tahun keenam konvensyen itu diadakan yang membolehkan penjual menggunakan ciri-ciri perniagaan terbaharu Shopee Marketplace. – UTUSAN










