PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM223.8 bilion pada Mei lalu dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM119.6 bilion dan RM104.2 bilion, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut DOSM, lebihan dagangan Malaysia meningkat 21.4 peratus tahun ke tahun kepada RM15.4 bilion pada bulan berkenaan.
Sembilan negeri katanya, mencatatkan lebihan dagangan iaitu Pulau Pinang, Sarawak, Johor, Sabah, Wilayah Persekutuan (WP) Labuan, Kelantan, Kedah, Pahang dan Terengganu.
Tambahnya, eksport pada bulan berkenaan menurun sebanyak RM884.4 juta atau 0.7 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
“Penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM2.4 bilion), Sabah (-RM1.1 bilion), Sarawak (-RM942.2 juta), Pahang (-RM742.7 juta), W.P. Labuan (-RM594.2 juta), Terengganu (-RM394.3 juta), Perak (-RM156.3 juta) dan Johor (-RM71.0 juta).
“Walau bagaimanapun, nilai eksport meningkat di Selangor sebanyak RM2.0 bilion, W.P. Kuala Lumpur (+RM1.3 bilion), Kedah (+RM1.0 bilion), Negeri Sembilan (+RM423.4 juta), Melaka (+RM324.1 juta), Kelantan (+RM273.0 juta) dan Perlis (+RM3.5 juta).
“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 29.0 peratus, diikuti oleh Johor (21.1 peratus), Selangor (18.5 peratus), Sarawak (8.1 peratus) dan WP Kuala Lumpur (5.8 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Mengenai prestasi import mengikut negeri pula, jabatan itu memaklumkan, import pada Mei 2023 juga menurun RM3.6 bilion (-3.3%) berbanding bulan yang sama pada 2022.
Penurunan import disebabkan oleh import yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM7.9 bilion), Kedah (-RM1.2 bilion), WP Kuala Lumpur (-RM1.2 bilion), Perak (-RM325.3 juta), WP Labuan (-RM190.1 juta) dan Pahang (-RM21.2 juta).
Walau bagaimanapun, sembilan negeri mencatatkan peningkatan import iaitu Selangor (+RM3.3 billion), Johor (+RM1.4 bilion), Melaka (+RM1.2 bilion), Sarawak (+RM733.3 juta), Terengganu (+RM290.5 juta), Negeri Sembilan (+RM143.2 juta), Sabah (+RM119.7 juta), Perlis (+RM37.9 juta) dan Kelantan (+RM7.9 juta).
“Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan 28.1 peratus, diikuti oleh Johor (22.2 peratus), Pulau Pinang (19.7 peratus), WP Kuala Lumpur (6.7 peratus) dan Kedah (4.8 peratus),” jelasnya. – UTUSAN










