PETALING JAYA: Saham Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) diniagakan seperti ‘pisang goreng panas’ dalam dagangannya di Bursa Malaysia hari ini.
Ia berikutan selepas pengumuman pengambilalihan keseluruhan pegangan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dalam Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) oleh MBSB berjumlah RM1.01 bilion.
Pengambilalihan berkenaan bakal menyaksikan MBSB muncul sebagai bank Islam kendiri kedua terbesar selepas Bank Islam Malaysia Bhd. yang mempunyai aset RM89.85 bilion.
Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), saham MBSB melonjak naik enam sen atau bersamaan 9.52 peratus kepada 69 sen hari ini berbanding 63 sen pada penutupannya Jumaat lalu.
“Sehingga tengah hari, lebih 40.5 juta saham telah diniagakan, berbanding 3.58 juta pada Jumaat lepas dan purata volum dagangan 200 hari kumpulan sebanyak 5.46 juta, menjadikannya saham kelima paling aktif didagangkan setakat hari ini,” katanya.
MBSB dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia bertarikh 9 Jun berkata, pertimbangan pembelian akan dipenuhi melalui terbitan 1.05 bilion saham MBSB dengan 12.8 peratus daripada asas saham kumpulan yang diperbesarkan kepada PNB pada 96.52 sen sesaham.
Selepas cadangan pengambilalihan selesai, PNB akan memegang 12.8 peratus bahagian dalam MBSB, manakala MIDF pula akan menjadi anak syarikat milik penuh bank berkenaan.
KWSP, yang merupakan pemegang saham majoriti MBSB dengan pegangan 65.9 peratus pada 15 Mei, akan menyaksikan ekuitinya dicairkan sedikit kepada 57.45 peratus.
“(Pemerolehan itu akan) menghimpunkan dua kumpulan perbankan dengan gabungan modal asas kira-kira RM10.69 bilion dan aset kira-kira RM61.73 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022,” kata MBSB. – UTUSAN










