PETALING JAYA: Public Bank memperuntukan RM48 bilion dalam pembiayaan mesra Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menjelang 2025.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek berkata, Bank sentiasa mengambil pendekatan holistik dalam inisiatif ESGnya.
Beliau berkata, Public Bank secara proaktif telah menandatangani beberapa memorandum dengan pemaju yang disenaraikan di Bursa Malaysia bagi menyediakan pakej pembiayaan lestari khas untuk pembiayaan akhir pembangunan hijau mereka.
“Namun, kami yakin bahawa banyak lagi kemajuan yang boleh dicapai dengan pendekatan inklusif yang melibatkan pemaju PKS. Mereka juga mempunyai pengaruh yang kuat dan harus diberikan perhatian,” katanya dalam kenyataan di seminar pembangunan lestari untuk pemaju perusahaan kecil dan sederhana (PKS) anjuran bank itu, baru-baru ini.
Seminar sehari bertajuk `Mendukung Pembangunan Lestari: Masa Hadapan Pemaju PKS’ itu menarik penyertaan 60 syarikat pemaju hartanah PKS sekitar Lembah Klang dan pakar daripada beberapa syarikat termasuk PwC Malaysia dan Gamuda Land.
Menurut Public Bank, antara isu yang dikongsikan dengan PKS dalam seminar itu termasuk isu mengenai perubahan iklim dan ESG, takrifan dan manfaat bangunan hijau daripada prespektif alam sekitar dan sosial, proses yang terlibat dalam permohonan pengiktirafan bangunan hijau serta kajian kes sebenar.
Perkongsian itu jelasnya, merupakan sebahagian daripada inisiatif pembinaan kapasiti Public Bank untuk menggalakkan pemaju PKS beralih kepada ekonomi rendah karbon dan mengamalkan pembangunan hartanah lestari.
“Semasa seminar ini berlangsung, Bank memperkenalkan senarai kemudahan pembiayaan hijau Bank yang menyokong penawaran dan permintaan bagi memenuhi keperluan pemaju PKS dan pembeli hartanah hijau.
“Dari segi penawaran, Public Bank menyediakan kemudahan pembiayaan untuk pelbagai penyelesaian pembiayaan hijau yang berkelayakan termasuk untuk menambah baik kecekapan tenaga, meningkatkan penggunaan bahan mampan untuk pengeluaran dan mendapatkan pengiktirafan lestari untuk pemaju PKS melalui Kemudahan Pembiayaan Hijau Public Bank dan Kemudahan Peralihan Rendah Karbon Bank Negara Malaysia (BNM),” jelasnya lagi. – UTUSAN










