PNB rekod pelaburan baharu RM3.5 bilion

PNB rekod pelaburan baharu RM3.5 bilion

AHMAD ZULQARNAIN ONN (tengah) memberi taklimat media mengenai perkembangan PNB di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) merekodkan pelaburan baharu berjumlah RM3.5 bilion dalam tempoh tiga bulan lalu, membabitkan kira-kira 96,000 pemegang akaun.

Ia susulan langkah PNB menaikkan had pelaburan indivi­du dalam Amanah Saham Bumi­putera (ASB) dan ASB2 kepada RM300,000 serta saiz dana Ama­nah Samah Malaysia (ASM) kepada RM5 bilion.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, kira-kira 30 peratus daripada pelaburan itu membabitkan pelaburan bumiputera.

“Setiap bulan kami menerima pelaburan baharu dan trend itu meningkat,” katanya dalam taklimat media di sini, semalam.

Kerajaan dalam pembenta­ngan Bajet 2023 Oktober tahun lalu mengumumkan kenaikan had pelaburan dalam ASB dan ASB 2 kepada RM300,000 daripada RM200,000 untuk mening­katkan pegangan ekuiti dalam kalangan bumiputera.

Beliau berkata, langkah me­ningkatkan had untuk tiga dana berkenaan bagi membolehkan penyertaan lebih besar daripada masyarakat bumiputera dan semua rakyat Malaysia.

Justeru beliau berharap, orang ramai akan mengambil peluang untuk menambah simpanan dan pelaburan dengan peningkatan had pelaburan individu dalam ASB dan ASB2 serta peningkatan saiz dana ASM itu.

PNB turut mengumumkan Laporan Tahunan Bersepadu (IAR) pertamanya untuk Tahun Kewangan (TK) 2022, menandakan komitmen organisasi itu untuk meningkatkan standard dan ketelusan pelaporannya, sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa.

Ahmad Zulqarnain berkata, PNB telah mencapai pertumbuhan yang mampan sebagai sebuah institusi pelaburan seperti ditunjukkan oleh peningkatan dalam Aset di Bawah Pengurusan (AUM)nya daripada RM322.6 bilion pada TK2021 kepada RM341.6 bilion TK2022.

Pertumbuhan itu katanya, mencerminkan sokongan tidak berbelah bahagi pelabur jangka panjang Kumpulan, seterusnya dibuktikan oleh peningkatan Unit dalam Edaran (UIC) untuk semua dana yang kini berjumlah 282.9 bilion.

Di samping itu, tambahnya, PNB telah menyaksikan peningkatan dalam bilangan akaun baharu di seluruh negara, mence­cah jumlah keseluruhan 15.2 juta akaun, dengan penambahan sebanyak 400,000 akaun.

“PNB berpegang teguh dalam komitmennya untuk meningkatkan kekayaan masyarakat bumiputera dan semua rakyat Malaysia. Melalui pelaksanaan strategi yang mantap dan kemajuan inisiatif yang tertumpu kepada daya tahan, tadbir urus dan kelestarian, kami telah menjana pulangan kompetitif secara konsisten untuk pemegang unit kami.

“Kami terus tangkas dengan mempertingkatkan keupayaan operasi kami, mengembangkan penawaran produk kami dan memperkasakan rak­yat Malaysia dengan pengetahuan kewangan yang diperlukan,” katanya.

PNB turut menyatakan komitmen terhadap alam sekitar dengan pelaburan RM10 bilion dalam aset baharu hijau dan pe­ralihan menjelang 2030.

Untuk meningkatkan pelabur­an ke arah komitmen tersebut, PNB sedang giat meneroka kerjasama dengan pasukan kelas aset bagi menilai ‘cadangan hijau’ baharu dan memangkinkan penggunaan lang lebih bersasar.

Usaha itu katanya, akan ditumpukan kepada sektor vertikal utama iaitu pengangkutan hijau, bangunan hijau, tenaga bersih, penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan pasaran hidrogen dan karbon. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN