Perdagangan borong, runcit tumbuh 6.3 peratus

Perdagangan borong, runcit tumbuh 6.3 peratus

Lesen niaga
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan Borong & Runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM136.0 bilion, meningkat 6.3 peratus tahun ke tahun pada April 2023, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut DOSM, peningkatan disumbangkan oleh subsektor Perdagangan Runcit yang meningkat 12.9 peratus atau RM6.9 bilion kepada RM60.5 bilion.

Perdagangan Borong juga berkembang dengan mencatatkan 3.2 peratus atau RM1.9 bilion kepada RM60.9 bilion. Walau bagaimanapun, Kenderaan Bermotor merosot 5.1 peratus kepada RM14.6 bilion.

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan Perdagangan Borong & Runcit menurun 1.8 peratus, disebabkan oleh kejatuhan bagi subsektor Kenderaan Bermotor dan Perdagangan Borong masing-masing dengan 19.8 peratus dan 1.1 peratus.

“Penurunan 5.1 peratus dalam subsektor Kenderaan Bermotor pada bulan ini dipengaruhi oleh Jualan Kenderaan Bermotor yang merosot 17.3 peratus atau RM1.4 bilion kepada RM6.8 bilion. Ini diikuti oleh Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal yang menguncup 29.8 peratus.

“Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan negatif sebanyak 19.8 peratus, disebabkan oleh kejatuhan pada Jualan Kenderaan Bermotor dengan 33.5 peratus,” jelasnya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut mengenai subsektor Perdagangan Borong, DOSM berkata, kenaikan 3.2 peratus disumbangkan oleh Jualan Borong Makanan, Minuman & Tembakau yang meningkat sebanyak RM0.9 bilion atau 7.7 peratus kepada RM12.1 bilion.

Ini diikuti oleh Jualan Borong Barangan Isi Rumah sebanyak5.4 peratus, Jual Borong Bahan Mentah Pertanian & Haiwan Hidup (5.1 peratus), Perdagangan Borong Tanpa Pengkhususan (8.5 peratus), Jualan Borong Jentera, Peralatan & Bekalan (2.7 peratus) dan Jual Borong Berdasarkan Kontrak atau Yuran (8.0 peratus).

Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, Perdagangan Borong susut 1.1 peratus, terutamanya disebabkan oleh Jualan Borong Makanan, Minuman & Tembakau dan Jualan Borong Barangan Isi Rumah, masing-masing menurun 2.7 peratus dan 1.7 peratus.

Jabatan Perangkaan turut menjelaskan bahawa, pertumbuhan subsektor Perdagangan Runcit sebanyak 12.9 peratus pada April 2023 disokong oleh Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan yang meningkat 18.0 peratus atau RM3.6 bilion kepada RM23.4 bilion.

Kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu Jualan Runcit di Kedai Pengkhususan (17.4 peratus), Jualan Runcit Bahan Api Kenderaan (19.6 peratus), Jualan Runcit Makanan, Minuman & Tembakau (15.1 peratus), Jualan Runcit Barangan Isi Rumah (1.5 peratus), Jualan Runcit Bukan di Kedai, Gerai atau Pasar (8.9 peratus) dan Jualan Runcit di Gerai & Pasar (13.1 peratus). Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat sebanuak 3.1 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN