PETALING JAYA: Pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (S1 2023), meningkat 3 peratus kepada RM15.16 bilion daripada RM14.77 bilion tempah sama tahun lalu.
Bagi tempoh berkenaan, pendapatan daripada instrumen Ekuiti meningkat kepada RM8.96 bilion, selepas mengambil kira turun nilai kos, berbanding RM8.75 1 bilion yang dicatatkan pada tiga bulan pertama 2022.
Kelas aset itu kekal sebagai penyumbang pendapatan tertinggi pada 59 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan dana pencen tersebut.
Menurut KWSP, turun nilai kos bagi S1 2023 secara relatifnya minimum pada RM0.44 juta berbanding RM1.09 bilion pada suku yang sama 2022, hasil daripada pengurusan portfolio aktif oleh pengurus dana.
Jelasnya, instrumen Pendapatan Tetap yang berfungsi sebagai pengekalan modal, telah menjadi tunjang kepada KWSP dan terus memberikan aliran pendapatan yang stabil.
“Kelas aset ini, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS) serta Pinjaman dan Bon, menyumbang 32 peratus atau RM4.79 bilion kepada pendapatan pelaburan kasar bagi S1 2023,” jelasnya dalam kenyataan.
Pendapatan daripada instrumen Hartanah dan Infrastruktur turut meningkat kepada RM0.92 bilion. Manakala pendapatan daripada instrumen Pasaran Wang juga meningkat kepada RM0.49 bilion, daripada RM0.28 bilion pada S1 2022, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset itu.
KWSP menyatakan, aset pelaburan keseluruhannya setakat Mac 2023 meningkat kepada RM1.04 trilion, di mana pelaburan luar negara yang sebahagian besar dalam ekuiti, menyumbang 37 peratus daripada keseluruhan jumlah aset, manakala pelaburan domestik menyumbang sebanyak 63 peratus.
“KWSP kekal komited untuk menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dengan terus memperuntukkan lebih daripada 70 peratus daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik,” katanya.
KWSP berkata, sebanyak RM13.33 bilion daripada RM15.16 bilion pendapatan pelaburan dijana untuk Simpanan Konvensional dan RM1.83 bilion untuk Simpanan Shariah.
Sehingga Mac 2023, KWSP merekodkan pendaftaran ahli baharu sebanyak 116,423, menjadikan jumlah ahli seramai 15.79 juta di mana 8.45 juta adalah ahli aktif, mewakili 50 peratus daripada 16.81 juta tenaga buruh Malaysia.
Pendaftaran majikan baharu juga menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 24,281, menjadikan jumlah majikan berdaftar kepada 595,730. Jumlah caruman yang diterima turut meningkat daripada RM21.55 bilion pada S1 2022 kepada RM25.83 bilion, caruman suku tahunan tertinggi setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam suku tahun pertama 2023, seperti gangguan rantaian bekalan yang berterusan dan ketidakstabilan sistem kewangan, termasuk kejatuhan Silicon Valley Bank dan Signature Bank di Amerika Syarikat, KWSP berjaya mengekalkan prestasi yang konsisten sepanjang suku tahun tersebut.
Beliau berkata, ia susulan perkembangan ekuiti global yang mencatatkan keuntungan kukuh dalam tempoh pelaporan berikutan jangkaan berlakunya kemelesetan yang semakin berkurangan dalam pasaran maju serta keyakinan terhadap pembukaan semula ekonomi China.
“Walaupun KWSP mencatatkan pulangan positif setakat tahun ini, keadaan pasaran kewangan masih tidak menentu, dengan ketegangan geopolitik dan inflasi yang tinggi terus menjadi kebimbangan bagi pasaran utama di seluruh dunia.
“Sebagai tindak balas kepada situasi ini, KWSP telah menumpukan strategi portfolionya ke arah syarikat yang berdaya tahan dan mempunyai asas kukuh yang membolehkannya untuk memberikan dividen yang stabil,” katanya.
Menurut Amir Hamzah, KWSP mengekalkan jangkaan dan fokus kepada sektor berprestasi yang boleh dimanfaatkan meskipun ekonomi maju dijangka mencatat pertumbuhan yang perlahan berbanding pasaran baru muncul dan membangun disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk peningkatan inflasi global dan ketegangan geopolitik yang berterusan.
Mengenai pertumbuhan keahlian, beliau berkata, KWSP tetap prihatin terhadap kesejahteraan masa depan 40 peratus tenaga kerja Malaysia yang masih tidak dilindungi oleh sebarang bentuk perlindungan sosial.
Untuk menangani perkara itu katanya, KWSP sedang mengambil langkah untuk meningkatkan liputan tenaga buruh negara melalui iSaraan, yang kini mempunyai ahli seramai 997,659 orang. – UTUSAN










