PETALING JAYA: Perbelanjaan pelancongan domestik meningkat 47.0 peratus kepada RM19.2 bilion pada suku pertama 2023, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM berkata, bagi tempoh berkenaan, negara merekodkan bilangan pelawat domestik sebanyak 48.6 juta, peningkatan 33.7 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya atau kenaikan 3.9 peratus daripada suku keempat 2022.
Jelasnya, sektor pelancongan domestik mengalami pemulihan luar biasa tahun lalu, dengan jumlah perbelanjaan RM64.1 bilion berbanding RM18.4 bilion pada 2021.
Katanya, setelah hampir dua tahun Malaysia bergelut dengan Covid-19, kini rakyat dapat menarik nafas lega apabila pelancongan domestik kembali rancak dan menunjukkan tanda pemulihan ekonomi.
“Jumlah pelawat domestik melonjak 160.1 peratus untuk mencatatkan 171.6 juta pelawat berbanding 66.0 juta pelawat tahun sebelumnya. Selari dengan peningkatan bilangan pelawat domestik, jumlah perbelanjaan turut meningkat 248.1 peratus berbanding 2021.
“Prestasi memberangsangkan bagi perbelanjaan ini didorong oleh peningkatan jumlah perbelanjaan oleh pelancong, 425.1 peratus dan pelawat harian, 129.0 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Menurut DOSM, dari segi perbelanjaan, perbelanjaan pelancong adalah penyumbang majoriti iaitu pada 60.7 peratus (2021: 57.3 peratus) dengan membeli-belah merupakan sumbangan terbesar perbelanjaan dengan sumbangan 38.9 peratus (2021: 50.3 peratus), diikuti makanan & minuman, 15.2 peratus (2021: 15.1 peatus) dan pembelian bahan api kenderaan, 13.8 peratus (2021: 11.1 peratus).
Katanya, melawat saudara-mara & rakan-rakan kekal penyumbang tertinggi bagi tujuan utama pelancongan domestik iaitu 33.7 peratus (2021: 24.2 peratus), namun masih belum mengatasi peratusan yang dicatatkan pada tahun pre-pandemik iaitu 42.3 peratus. Membeli-belah kekal sebagai tujuan kedua dengan sumbangan 29.9 peratus (2021: 36.4 peratus).
Volum jumlah perjalanan pula tambahnya, menunjukkan peningkatan ketara yang mana pelawat domestik telah melakukan 207.8 juta perjalanan di dalam negara tahun lalu, melonjak 187.0 peratus berbanding tahun sebelumnya. Selanjutnya, average length of stay (ALOS) meningkat kepada 2.55 hari daripada 2.19 hari pada tahun sebelumnya.
“Bagi ketibaan pelawat domestik mengikut negeri pula, Selangor muncul sebagai negeri dikunjungi paling ramai pelawat domestik pada tahun 2022 menerima seramai 22.0 juta, diikuti oleh W.P Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing menerima 16.9 juta dan 15.5 juta pelawat domestik.
“Jumlah pelancong domestik yang berkunjung ke negeri Pahang meningkat sebanyak 511.8 peratus, merekodkan 7.8 juta berbanding tahun sebelumnya, 1.3 juta pelancong,” jelas DSOM. – UTUSAN










