PCG bakal hasilkan Maleic Anhydride di Kuantan

PCG bakal hasilkan Maleic Anhydride di Kuantan

MOHD. YUSRI MOHAMED YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) bakal menghasilkan Maleic Anhydride (MAn) di Kuantan selepas mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) untuk pengambilalihan loji MAn di Gebeng daripada BASF Petronas Chemicals Sd. Bhd. (BPC).

Loji itu mempunyai kapasiti 113 kilo-tan (ktpa) setahun.

PCG dalam kenyataan memberitahu, loji tersebut bakal meluaskan portfolio produk Kumpulan dan derivatifya untuk mengukuhkan lagi tawaran produk derivatif.

Jelasnya, FID itu menandakan permulaan fasa pelaksanaan projek loji tersebut untuk menaik taraf dan mempertingkatkan kemudahan bagi menghasilkan MAn yang diproses, dijangka siap menjelang separuh kedua 2025.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, FID untuk  loji MAn menandakan komitmen Kumpulan yang kukuh ke arah mewujudkan peluang pertumbuhan baharu dengan mempelbagaikan ke jurusan derivatif dan bahan kimia khusus.

Beliau berkata, ia turut membolehkan PCG menghasilkan MAn untuk memenuhi permintaan yang meningkat daripada pelanggan di rantau Asia Pasifik dan India di samping menerokai peluang yang berpotensi dalam pasaran Eropah dan Asia Barat.

“Tambahan lagi, loji tersebut akan membolehkan penyepaduan derivatif kimia khusus MAn dengan kedua-dua anak syarikat kami iaitu Perstorp dan BRB pada masa akan datang untuk memberikan penyelesaian inovatif dan juga kemungkinan usaha sama bersama pengeluar hiliran MAn yang lain di Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut PCG, kegunaan utama MAn boleh dilihat dalam pembuatan resin poliester tidak tepu, cat dan bahan perisa makanan.

Sebelum ini, loji MAn tersebut yang diuruskan oleh BPC, syarikat usaha sama PCG dan kini akan dikendalikan oleh anak syarikat PCG, Petronas Chemicals MTBE Sdn. Bhd., berikutan penyelesaian pengambilalihan tersebut.

PCG merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Ia mengendalikan beberapa tapak pengeluaran bertaraf dunia di Malaysia, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara.

Dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 15.4 juta tan metrik setahun (mtpa), aktiviti perniagaan utama PCG melibatkan pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol serta bahan kimia dan produk derivatif asas yang lain.

Disenaraikan di Bursa Malaysia dengan lebih daripada tiga dekad pengalaman dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan Petrinas untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN