Pasaran modal main peranan penting sokong pelaburan mampan

Pasaran modal main peranan penting sokong pertumbuhan pelaburan mampan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran modal boleh memainkan peranan penting untuk menyokong pertumbuhan pelaburan berkaitan kemampanan dengan memudahkan akses kepada pembiayaan.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, keutamaan SC adalah untuk memastikan pasaran modal mampu menyalurkan dana dan modal ke arah mencapai hasil kemampanan.

Untuk itu katanya, pelabur dan pemberi pinjaman memerlukan maklumat yang lebih telus, setanding dan boleh dipercayai daripada syarikat mengenai perjalanan kemampanan mereka.

“Data dan maklumat ini akan membolehkan pelabur menilai risiko dan peluang tersebut dengan lebih baik.

“Di sinilah Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) memainkan peranan penting, bagi membangunkan piawaian asas global untuk pendedahan kemampanan. Piawaian ISSB dijangka akan dikeluarkan pada akhir bulan ini,” katanya berucap di Persidangan Maya Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) 2023.

Menurut beliau, dari perspektif pasaran pesat membangun, syarikat senaraian awam Malaysia harus mendahului keluk memandangkan mereka memulakan pelaporan kemampanan sejak 2015, di mana keperluan pelaporan kemampanan Bursa juga selaras dengan piawaian ISSB.

“(Untuk itu) saya menggesa syarikat mengambil langkah segera untuk memenuhi keperluan maklumat pihak berkepentingan jika mereka belum berbuat demikian. SC dan Bursa akan menyediakan syarikat dengan sokongan yang diperlukan, termasuk program pembinaan kapasiti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Awang Adek berkata, Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) untuk pasaran modal Malaysia yang diumumkan baru-baru ini bertujuan memastikan penyeragaman dan keboleh bandingan SRI dan aset kemampanan.

“Sebagai mengiktiraf seruan yang semakin meningkat untuk positif kesan sosial, taksonomi ini merangkumi komponen sosial. Kami percaya ini juga akan meningkatkan sinergi antara prinsip pelaburan Islam dan SRI.

“Contoh utama kewangan sosial ialah wakaf atau amanah khairat yang boleh digunakan untuk tujuan sosial seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, dan pembasmian kemiskinan.

“Memandangkan peranannya dalam meningkatkan kebajikan masyarakat, saya menggesa sektor swasta untuk pertimbangkan struktur Islam ini dalam mempromosi dan memenuhi kewajipan sosialnya,” kata beliau.

Tambah beliau, SC sedang mengusahakan prinsip panduan yang tertumpu kepada maqasid al-syariah termasuk bidang seperti kewangan sosial, pelaburan impak, SRI serta pengurusan dana dan kekayaan Islam.

“Kami berharap ini akan menarik lebih banyak minat untuk kewangan sosial di Malaysia, serta lebih selaras dengan prinsip Islam untuk mempromosikan hasil yang bermanfaat dengan agenda kemampanan keseluruhan secara sosial,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN