KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd. (BIMB) menjangkakan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.25 peratus bagi tempoh separuh kedua 2023, kata Ketua Ekonominya, Firdaos Rosli.
Menurut Firdaos, tindakan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) Mei lalu menaikkan OPR kepada 3.0 peratus memberi kejutan kepada ramai pihak, namun ia bukanlah diluar jangkaan.
“Ini kerana kita sudah menjangkakan Bank Pusat akan menaikkan OPR seawal suku pertama 2023 memandangkan kadar pengangguran yang lebih rendah serta kesan limpahan positif daripada pembukaan semula ekonomi China.
“Kenaikan 25 mata asas pada Mei adalah lebih kepada situasi ‘buat sekarang atau tidak’ memandangkan separuh kedua 2023 mungkin mencabar dari perspektif pertumbuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai sorotan kewangan Bank Islam bagi suku pertama 2023 dan tinjauan makro separuh kedua tahun 2023 di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Firdaos berkata, pemulihan pasaran buruh memberi gambaran OPR perlu kembali secara progresif ke tahap terminal baharunya kerana ia berkorelasi lebih kuat dengan kadar pengangguran berbanding inflasi.
“Pada kadar semasa, kami tidak menolak kemungkinan kenaikan OPR sepanjang tempoh separuh kedua 2023 sekiranya kadar pengangguran bertambah baik, mencapai 3.3 peratus pada Ogos.
“Data rasmi itu akan dikeluarkan pada Oktober 2023 iaitu sebulan sebelum mesyuarat MPC akhir yang dijadualkan pada 1 hingga 2 November akan datang,” katanya.
Mengulas mengenai Ringgit, Firdaos berkata, Bank Islam kekal dengan pendiriannya bahawa mata wang tempatan itu diunjur pada nilai RM4.28 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata, meskipun nilai Ringgit jatuh ke paras hampir RM4.70 berbanding dolar AS, mata wang berkenaan mempunyai potensi untuk kembali mengukuh dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Walaupun tekanan global boleh mengehadkan potensi peningkatan trajektori Ringgit, kami percaya mata wang tempatan boleh mengakhiri tahun ini pada kadar RM4.28 berbanding dolar AS berikutan tinjauan domestik kami yang berdaya tahan.
“Unjuran kami disokong oleh keyakinan tentang pembukaan semula China berdasarkan pandangan positif daripada pendirian terkini MDB dan penyingkapan naratif ekonomi baharu pada suku ketiga tahun 2023,” katanya. – UTUSAN










