Muslim Pro raih 150 juta muat turun

Muslim Pro raih 150 juta muat turun, rancang jadikan Malaysia pusat kandungan  

APLIKASI yang bermula pada 2009 itu, adalah satu cara untuk memudahkan berjuta-juta umat Islam beribadah di mana jua.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Muslim Pro, aplikasi gaya hidup muslim, melepasi 150 juta muat turun di seluruh dunia dengan menetapkan beberapa peringkat untuk rancangan besar dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Aplikasi yang bermula pada 2009 itu, adalah satu cara untuk memudahkan berjuta-juta umat Islam beribadah di mana jua mereka berada.

Sejak itu, aplikasi ini telah diterjemahkan ke dalam 22 bahasa dengan lebih daripada 60 terjemahan al-Quran tersedia dalam aplikasi.

Ia semakin berkembang di Malaysia apabila perkhidmatan penstriman, Qalbox, diperkenalkan ke dalam aplikasi itu pada Disember 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama (Co-CEO) Bitsmedia, Fara Abdullah berkata, dalam meraikan pencapaian itu, pihaknya mengumumkan sebanyak 12 juta muat turun merupakan daripada pengguna Malaysia.

“Kejayaan itu menandakan Malaysia memainkan peranan sebagai salah satu pemacu pertumbuhan penting bagi Muslim Pro dan Qalbox.

“Berkat sokongan pengguna aplikasi kami, Muslim Pro merupakan aplikasi mudah alih nombor satu yang paling banyak dimuat turun di Malaysia sepanjang Ramadan lalu dalam semua kategori.

“Kami juga ingin menghubungkan kejayaan kami kepada kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat seperti Maxis dan Viu Malaysia yang memainkan peranan penting dalam kejayaan kami,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Nik Emir Din pula berkata, dengan pembiayaan yang diterima daripada rakan kongsi tempatan, Bintang Capital Partners dan Penjana Kapital Sdn. Bhd. pada tahun lalu, pihaknya akan mengembangkan lagi syarikat di negara ini dan menjadikan Malaysia sebagai pusat kandungan bagi rantau ini.

“Sementara kami terus memperluas operasi kami di pasaran Malaysia, kami sedang mencari pembiayaan tambahan untuk mempercepat rancangan pertumbuhan kami.

“Ini akan membantu kami mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pemain utama dalam bidang kami,” katanya.

Bitsmedia, syarikat induk bagi Muslim Pro dan Qalbox, sentiasa melihat Malaysia sebagai pemacu pertumbuhan utama bagi aplikasi ini kerana komuniti muslim yang berpengaruh di Malaysia.

Dengan membina kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat seperti Maxis dan Viu, Muslim Pro telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain penting di pasaran Malaysia.

Untuk menunjukkan komitmen mereka, Muslim Pro merancang untuk mengambil langkah yang besar dengan melipatgandakan pasukan tempatan mereka tiga kali ganda dalam tempoh 24 bulan yang akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN