PETALING JAYA: Misi pelaburan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) ke Minggu Teknologi London 2023 baru-baru ini berjaya meraih komitmen pelaburan berjumlah RM8.3 bilion.
Misi tersebut diketuai oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Menerusi misi itu, Fahmi Fadzil bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Ts. Mahadhir Aziz turut mengadakan sesi meja bulat berkenaan inisiatif MD bersama tokoh-tokoh dan eksekutif perniagaan selain memberikan ucaptama bertajuk “Opportunities in ASEAN” selain menjadi ahli panel di Global Tech Stage.
Menurut KKD dalam kenyataan, kejayaan itu hasil daripada pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MDEC dengan International Data Center Authority (IDCA); pertukaran kerjasama MDEC bersama Commonwealth Enterprise and Investment Council (CWEIC); pertukaran kerjasama MDEC bersama UK-ASEAN Business Council (UKABC).
Kejayaan lain termasuk pemeteraian MoU antara Sunway Group dengan Wippd; dan pengumuman pelaburan daripada sembilan syarikat United Kingdom iaitu Access Group, Dataswyft, TPP, Activpayroll, Ekco, Yondr Group, GBG, Hamilton Barnes dan MMOB.
“Kejayaan ini membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap rangka kerja kukuh menerusi Malaysia Digital (MD) yang merupakan inisiatif strategik nasional ekonomi digital yang berada di landasan tepat seiring dengan visi Malaysia MADANI,” katanya. – UTUSAN










