PETALING JAYA: KPJ Healthcare Berhad yakin prospek syarikat akan bertambah baik untuk tahun ini didorong oleh pertumbuhan dalam jumlah pesakit dan peningkatan kadar penghunian katil di hospital.
Pengerusi KPJ Healthcare, Datuk Md. Arif Mahmood berkata, peningkatan trend pada suku keempat tahun lalu dan limpahannya sehingga suku pertama tahun ini amat menggalakkan.
“Kami melihat lebih banyak pesakit telah kembali terutamanya untuk rawatan elektif, dan dengan sempadan telah dibuka semula, kami melihat lebih banyak pesakit asing datang untuk mendapatkan rawatan.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangka trend menaik ini akan berterusan. Kadar penghunian katil kami juga bertambah baik iaitu sebanyak 60 peratus secara keseluruhan. Kadar tersebut di hospital baharu kami di Damansara 2 juga telah mencapai lebih 60 peratus.
“Di masa depan, kami merancang untuk gandakan jumlah katil kami di Damansara 2 dengan menambah 300 jumlah katil pada tahun ini.
“Selain itu, jika semua rancangan berjalan dengan lancar, kami merancang untuk membuka hospital kami yang ke 30 pada tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya selepas KPJ Healthcare mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-30.
Mengenai pelancongan perubatan, Md. Arif berkata, pihaknya kekal optimis berikutan peningkatan yang dilihat suku pertama.
“Dengan peningkatan 63 peratus tahun ke tahun yang luar biasa berbanding 2021, perniagaan pelancongan kesihatan kami telah pulih.
“Kami akan mempromosikan perkhidmatan kami secara agresif ke pasaran antarabangsa, termasuk Indonesia, Indo-China, Singapura, Timur Tengah dan Afrika Utara.
“Mengenai pelaburan pula, berdasarkan portfolio kami, kami telah membuat pelaburan di Australia, Bangladesh, Thailand dan Indonesia. Namun, untuk menguatkan lagi portfolio kami, kami membuat keputusan untuk melupuskan pelaburan di Indonesia.
“Tetapi itu tidak bermakna kami tidak akan melihat peluang pelaburan lain di sekitar rantau ini. Itu merupakan kos biasa perniagaan untuk memangkas atau mengembangkan portfolio syarikat,” katanya.
KPJ Healthcare melaporkan hasil tertinggi sebanyak RM2.9 bilion untuk tahun kewangan 2022, peningkatan ketara 13 peratus berbanding RM2.6 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
Keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan mengalami lonjakan yang mengagumkan melebihi 100 peratus, hampir tiga kali ganda tahun ke tahun pada RM190.3 juta berbanding RM72.4 juta pada tahun kewangan 2021.
Keuntungan sebelum sukai (PBT) meningkat lebih dua kali ganda kepada RM263.5 juta untuk tahun kewangan 2022, melebihi RM121.2 juta pada tahun kewangan 2021. – UTUSAN