PETALING JAYA: Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO) melalui anak syarikatnya, KOPETRO Trading Sdn. Bhd. memeterai kerjasama strategik bersama platform e-dagang auttomotif, CARSOME Sdn. Bhd. (CARSOME).
Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut merupakan permulaan kerjasama strategik di antara kedua-dua entiti dalam usaha memperkukuhkan industri automotif di Malaysia.
Kerjasama yang merangkumi pelbagai aspek itu akan menghasilkan peningkatan jenama, capaian pelanggan yang lebih meluas dan potensi kerjasama yang berterusan di antara KOPETRO dan CARSOME.
Pengerusi KOPETRO, Roslan Abdul Rahim berkata, kerjasama bersama CARSOME memberikan anggota KOPETRO akses mudah kepada rangkaian lengkap produk dan perkhidmatan CARSOME, serta sokongan selepas jualan yang efektif bagi memastikan pengalaman luar biasa buat mereka.
“Pemilihan untuk berkolaborasi bersama CARSOME ini juga berhubung kait dengan pelancaran produk pembiayaan terbaharu KOPETRO, Kenderaan-i yang menawarkan penyelesaian pembiayaan kenderaan yang lebih mudah dan fleksibel.
“Ini sejajar dengan aspirasi KOPETRO untuk menawarkan produk-produk berinovatif kepada anggota koperasi,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, kehadiran CARSOME telah melengkapkan ekosistem produk pembiayaan tersebut di mana anggota koperasi kini boleh memilih untuk membeli kenderaan daripada syarikat automotif tersebut melalui Kenderaan-i yang menawarkan pembiayaan sehingga RM150,000.
Upacara penyerahan MoU tersebut menyaksikan Pengerusi KOPETRO Trading, Wan Ahmad Tarmizi Wan Abd Rahman bertukar dokumen dengan Pengurus Besar Negara CARSOME Certified, Alan Cheah. – UTUSAN










