Kerajaan Persekutuan saring setiap permohonan projek RMK12

Kerajaan Persekutuan saring setiap permohonan projek RMK12

MOHD. RAFIZI Ramli (kanan) diiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh pada Sesi Libat Urus Separuh Penggal RMK12 2021-2025 di Banda Hilir, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan Persekutuan dalam proses saringan bajet terhadap permohonan 330 projek oleh Kerajaan Negeri Melaka di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).

Menteri Ekonomi, Mohd. Rafizi Ramli berkata, proses tersebut melibatkan semakan belanjawan dan peruntukan daripada kerajaan negeri serta agensi-agensi terlibat.

Katanya, Kementerian Ekonomi sebagai pihak terakhir yang akan meluluskan permohonan berkenaan perlu diberi ruang secukupnya kerana permohonan itu turut diangkat secara rasmi oleh kementerian dan agensi Persekutuan.

“Katakanlah Kementerian Pengangkutan (MOT) ada perancangannya sendiri dan setiap negeri juga ada senarai keutamaan. Sudah tentu MOT tidak boleh letak kesemuanya.

“Sebab itu kita turun dan buka ruang ini kepada kerajaan negeri supaya kita juga boleh mendengar secara selari keutamaan kerajaan masing-masing termasuk di Melaka. Kami akan harmonikan antara keutamaan agensi Persekutuan dengan keutamaan kerajaan negeri apabila sampai di peringkat akhir nanti.

“Kalau pun tidak dapat semua tapi projek-projek yang besar dan penting bagi kerajaan negeri di seluruh negara berada di tempat baik (peluang) untuk diluluskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Separuh Penggal RMK12 2021-2025 di sini, semalam.

Dalam pada itu, mengenai mengimbangi pembangunan ekonomi di Melaka dan Negeri Sembilan, Mohd. Rafizi berkata, kerajaan Persekutuan akan mencari mekanisme terbaik bagi merapatkan jurang kemiskinan.

Menurutnya, kaedah itu termasuklah aspek pemberian peruntukan dalam memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi di negeri yang terletak di tengah-tengah antara selatan dan utara Semenanjung Malaysia.

“Walaupun tidak seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak tetapi kita perlu mengimbangi keperluan kedua-dua negeri ini. Melaka dan Negeri Sembilan berada di tengah dan tidak seperti Selangor dan Johor yang pesat dengan aktiviti perindustrian dan perkilangan.

“Sebab itu dalam kajian penggal dan tujuan RMK13, kita akan lihat dan imbangi keperluan ini. Kedua negeri itu perlu bijak menggunakan kedudukan geografinya yang strategik dan mampu menjadi dua pusat ekonomi penting,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN