PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM2.8 trilion pada 2022, dengan nilai eksport berjumlah RM1.6 trilion dan import bernilai RM1.3 trilion.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), tujuh negeri mencatatkan peningkatan dua digit bagi eksport dan import tahun lalu iaitu Wilayah Persekutuan (WP) Labuan, Sarawak, Kedah, Johor, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah.
Katanya, prestasi eksport Malaysia pada 2022 bernilai RM1.6 trilion, meningkat sebanyak 25.0 peratus berbanding RM1.2 trilion tahun sebelumnya.
Eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM107.7 bilion, +30.3%), Johor (+RM84.7 bilion, +35.2%), Sarawak (+RM45.4 bilion, +52.7%), Selangor (+RM22.4 bilion, +8.8%), Kedah (+RM14.4 bilion, +36.1%), Sabah (+RM8.8 bilion, +27.0%), W.P. Labuan (+RM8.2 bilion, +75.3%), W.P. Kuala Lumpur (+RM2.9 bilion, +4.5%), Pahang (+RM2.9 bilion, +8.9%), Negeri Sembilan (+RM2.2 bilion, +9.4%), Melaka (+RM1.2 bilion, +4.1%), Kelantan (+RM1.2 bilion, +42.1%),
Perlis (+RM392.1 juta, +34.2%) dan Terengganu (+RM325.7 juta, +1.9%).
“Walau bagaimanapun, eksport Perak menyusut RM2.2 bilion atau 5.6 peratus kepada RM37.1 bilion,” katanya dalam kenyataan.
DOSM berkata, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama Malaysia dengan sumbangan 29.9 peratus, diikuti Johor (21.0%) dan Selangor (17.8%).
Pertumbuhan eksport disokong oleh eksport litar elektronik bersepadu yang kukuh di Pulau Pinang dan Selangor. Di samping itu, keluaran petroleum bertapis merupakan penyumbang utama eksport di Johor.
Dalam pada itu, import negara pada 2022 bernilai RM1.3 trilion, meningkat 31.3 peratus berbanding RM987.3 billion pada tahun sebelumnya. – UTUSAN










