IPO: Daythree Digital sasar kumpul RM33.12 juta

IPO: Daythree Digital sasar kumpul RM33.12 juta, harga terbitan 30 sen sesaham

MAJLIS pelancaran prospektus Daythree Digital menjelang penyenaraiannya di Bursa Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Daythree Digital Berhad (Daythree Digital), menyasarkan mengumpul sejumlah RM33.12 juta daripada langkah penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

Di bawah pelaksanaan langkah penyenaraian itu, Daythree Digital akan menerbitkan sejumlah 110.40 juta saham-saham baharu mewakili 23.0 peratus daripada pertambahan modal saham pada harga terbitan RM0.30 sesaham.

Menurut syarikat itu, daripada 110.40 juta saham baharu, sebanyak 24.00 juta saham akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia; 12.00 juta saham baharu untuk Pengarah dan kakitangan Daythree Digital di bawah Peruntukan Borang Merah Jambu, manakala baki 74.40 juta saham baharu untuk Penempatan Persendirian bagi pelabur terpilih.

Jelasnya, selaras dengan sebahagian daripada langkah penyenaraian itu, pemegang saham sedia ada dan Syarikat akan turut membuat Tawaran Jualan sebanyak 12.00 juta saham-saham sedia ada kepada pelabur terpilih menerusi Penempatan Persendirian.

“Berdasarkan modal sahamnya yang ditambah sebanyak 480.00 juta saham, Daythree Digital dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM144.00 juta selepas penyenaraian itu,” katanya dalam kenyataan.

Daythree Digital merupakan penyedia Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) yang dipacu oleh teknologi.

Syarikat tersebut merancang untuk menggunakan RM14.70 juta (44.4 peratus) yang dikumpul daripada tawaran awam permulaan (IPO) bagi tujuan keperluan modal kerja.

Ia membabitkan pengambilan perkhidmatan tambahan 380 lagi eksekutif pengalaman pelanggan (CX) bagi meningkatkan kapasitinya dalam memberi perkhidmatan kepada peningkatan jumlah kontrak.

“Sejajar dengan pengembangan itu, syarikat akan turut memeterai kontrak sewaan bagi menyewa 380 unit peralatan komputer untuk setiap eksekutif CX berkenaan,” katanya.

Jelas syarikat itu, sebanyak RM7.10 juta (21.4 peratus) lagi akan digunakan sebahagiannya bagi membiayai ruang kerja tambahan yang diperlukan bagi menampung peningkatan jumlah pelanggan serta membesarkan ibu pejabat.

Tambahnya, baki akan digunakan bagi perbelanjaan modal dalam infrastruktur rangkaian, perkakasan dan perisian yang berjumlah RM3.00 juta (9.1 peratus) dan RM3.02 juta (9.1 peratus) untuk mengambil khidmat pakar bagi merebut peluang pertumbuhan dalam industri GBS tempatan; RM1.50 juta (4.5 peratus) bagi tujuan aktiviti penjenamaan, pemasaran dan promosi, manakala baki RM3.80 juta (11.5 peratus) untuk menampung anggaran keperluan perbelanjaan bagi penyenaraian tersebut.

Pengarah Urusan Daythree Digital, Raymond Davadass berkata, Syarikat menjangkakan keperluan modal kerja akan meningkat seiring dengan jangkaan pertumbuhan bagi skala operasinya.

Kata beliau, kos berkaitan pekerja adalah kos jualan terbesar dan Syarikat telah memperuntukkan sebanyak 44.4 peratus daripada pengumpulan itu untuk keperluan modal kerja ke atas pekerja yang diperlukan bagi projek dan/atau kontrak akan datang.

“Peruntukan bagi jumlah yang terkumpul daripada Terbitan Awam untuk keperluan modal kerja akan membolehkan kami melaksanakan lebih banyak kontrak secara serentak. Ini berikutan jumlah serta saiz kontrak yang kami laksanakan pada bila-bila masa adalah sebahagian besarnya bergantung kepada ketersediaan modal kerja kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz berkata, Daythree yang merupakan sebahagian daripada program GAIN, adalah bukti kejayaan strategi dan sokongan MDEC dalam mempercepat pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

“MDEC akan terus melakukan libat urus dalam kolaboratif perkongsian dengan rakan-rakan industri di rantau ini bagi meningkatkan lagi tarikan Malaysia sebagai lokasi Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS),” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN