Individu bujang perlu RM1,930 sebulan tinggal di Lembah Klang

Individu bujang perlu RM1,930 sebulan untuk tinggal di Lembah Klang

RAFIZI Ramli melancarkan buku Panduan dan Aplikasi Belanjawanku 2022/2023 di Menara KWSP Kwasa Damansara, semalam. Turut serta Ahmad Badri Mohd. Zahir (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (dua, kanan). – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Individu bujang memerlukan perbelanjaan sebanyak RM1,930 sebulan untuk tinggal di Lembah Klang. Kos itu meliputi makan berjumlah RM610, sewa bilik (RM370) dan pengangkutan (RM140).

Jumlah tersebut meningkat kepada RM2,600 jika individu bujang tersebut mempunyai kenderaan, dengan anggaran perbelanjaan bulanan kende­raan sahaja berjumlah RM760.

Bagi pasangan suami isteri tanpa anak pula, mereka memerlukan perbelanjaan sebanyak RM4,630 dan jika mempunyai dua anak, mereka memerlukan perbelanjaan sebanyak RM6,890 sebulan.

Anggaran perbelanjaan bulanan itu berdasarkan panduan Belanjawanku 2022/2023 diterbitkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) de­ngan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan SOsial (SWRC) Universiti Malaya (UM).
Majlis Pelancaran Panduan dan Aplikasi Belanjawanku itu dirasmikan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Menara KWSP Kwasa Damansara, semalam.

Kaji selidik itu juga mendapat, Lembah Klang merupakan bandar merekodkan kos hidup paling tinggi di Malaysia, diikuti Georgetown dan Johor Bahru.

Mengambil kira kaji selidik itu, gaji minimum RM1,500 yang dilaksanakan kerajaan masih belum mampu membantu rakyat untuk hidup di Lembah Klang. Ia belum mengambil kira pelbagai kenaikan kos hidup yang ditanggung rakyat ketika ini.

Pengarah SWRC, Prof. Datuk Dr. Norwa Mansor berkata, Belanjawanku berperanan sebagai panduan kepada rakyat untuk merancang kewangan dan me­nguruskan hutang.

“Pembuat dasar juga boleh menggunakan Belanjawanku sebagai penunjuk atau penanda aras dalam menangani isu kos sara hidup, pariti kuasa beli, dan pembasmian kemiskinan bagi memastikan keterangkuman sosial dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, kaji selidik oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) mendapati, sebanyak 84 peratus rakyat Malaysia tiada simpanan tetap setiap bulan.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir dalam ucapan di Majlis Pelancaran Aplikasi Belanjawanku 2022/2023 berkata, kebanyakan rakyat Malaysia hanya menyimpan secara tetap untuk jangka pendek, sebelum bertindak mengeluarkan semula pada hujung bulan bagi menampung perbelanjaan ha­rian mereka.

Data itu juga katanya, me­nunjukkan 52 peratus berasa sukar untuk mengenepikan RM1,000 bagi kegunaan kecemasan.

“Selain itu, 76 peratus rak­yat Malaysia mempunyai belanjawan, tetapi tidak semua benar-benar mematuhi belanjawan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, kerajaan akan mula menerbitkan statistik gaji negara secara suku tahun berbanding setiap tahun sebelum ini, sebagai langkah menumpukan pengurangan jurang gaji yang dialami semua industri dalam negara.

Menurut Rafizi, cadangan berkenaan akan dibawa terlebih dahulu kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dijangka ming­gu ini sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Ogos.

“Kita mahu menyelesaikan soal nisbah pampasan gaji kepada pekerja berbanding nilai ekonomi yang dijana oleh KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) yang masih dibelakang daripada sasaran.

“Lebih mendesak di negara ini ialah purata gaji yang memang rendah. Ini merupakan sebahagian daripada langkah-langkah untuk kita menumpukan bagaimana kita menutup jurang gaji yang rendah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN