PETALING JAYA: Indeks Harga Rumah Malaysia meningkat sederhana dua peratus pada suku pertama tahun ini, menurut Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.
Menurut beliau, kadar pertumbuhan berkenaan tidak jauh daripada paras semasa prapandemik Covid-19 meskipun Kumpulan itu belum mempunyai data harga rumah dalam negara bagi tempoh berkenaan.
“Tetapi pada suku ketiga tahun lalu, rumah berasingan kekal sebagai jenis hartanah kediaman paling mahal, dengan harga purata RM617,432.
“Harga purata rumah berkembar pula ialah RM669,402 diikuti rumah teres pada harga purata RM418,592, dan hartanah bertingkat berjumlah RM342,506,” katanya dalam kenyataan.
Kashif berkata, aktiviti pasaran hartanah bagi suku pertama tahun ini juga rancak dengan kedua-dua jumlah dan nilai urus niaga melonjak hingga mencatat peningkatan ketara.
“Pada Mac, nilai agregat urus niaga hartanah melonjak 40 peratus berbanding Februari, mencecah RM18.2 bilion dan menjadikannya yang tertinggi dalam tempoh 12 bulan.
“Jumlah urus niaga juga turut meningkat kepada 33,233 pada Mac, tertinggi sejak September dan paras keempat tertinggi dalam 12 bulan lepas,” katanya.
Jelas beliau lagi, beberapa indikator turut menunjukkan bahawa industri mula yakin terhadap pasaran hartanah kediaman di mana ia mula meningkat pada suku pertama tahun ini.
“Ini bermakna bank dan pemaju melabur wang mereka untuk membina rumah baharu dan ia memberi gambaran jelas terhadap prospek pasaran.
“Projek perumahan melonjak 31 peratus pada Mac berbanding bulan sebelumnya. Purata tiga bulan yang merosot bulan demi bulan pada suku keempat 2022 juga bertukar positif pada Mac dengan kenaikan sebanyak sembilan peratus,” katanya.
Mengulas prospek hartanah kediaman, Kashif berkata, Juwai IQI mengunjurkan pertumbuhan harga rumah di antara 1.5 hingga 4.0 peratus pada separuh kedua (H2) tahun ini berbanding 2022.
Ujar beliau pertumbuhan ekonomi yang stabil, penurunan inflasi dan kewangan isi rumah yang kukuh akan menyokong pasaran kediaman bagi baki tahun ini.
“Kami menjangkakan pasaran hartanah kediaman akan terus bertambah baik tahun ini didorong pelbagai keadaan yang menyokong meskipun pertumbuhan ekonomi yang rendah secara sederhana,” katanya. – UTUSAN










