Gooi Hoe Soon dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah AIA Bhd.

Gooi Hoe Soon dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah AIA Bhd.

WEE HOE SOON @ GOOI HOE SOON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AIA Bhd. mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr. Wee Hoe Soon @ Gooi Hoe Soon sebagai Pengerusi Lembaga Pengarahnya berkuat kuasa 15 Jun lalu.

Beliau menggantikan Ching Yew Chye @ Chng Yew Chye yang bersara setelah menamatkan perkhidmatannya sebagai pengarah syarikat tersebut.

Menurut AIA, Gooi yang menganggotai Ahli Lembaga Pengarah AIA Bhd. sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif sejak 5 Januari 2023, adalah Pengerusi Lembaga Pengarah AIA Bhd. yang ketiga.

Jelasnya, beliau mempunyai lebih 38 tahun pengalaman dalam bidang perakaunan dan kewangan korporat. Beliau juga memainkan peranan penting dalam menjayakan pelaksanaan beberapa tindakan korporat termasuk penggabungan dan pengambilalihan serta penstrukturan semula hutang korporat oleh Syarikat Tersenarai Awam (PLC).

“Gooi pernah menjadi ahli Jawatankuasa Pengurusan Hutang dan Liabiliti Negara dan ahli panel pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Malaysia. Beliau juga merupakan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah EON Bank Bhd., Pengerusi Amity Bond Sdn. Bhd., Timbalan Pengerusi Avenue Capital Resources Bhd. dan sebelumnya memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif-Urus Niaga, Avenue Securities Sdn. Bhd.,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas pelantikan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif AIA, Ben Ng berkata, dengan rekod kepimpinan yang terbukti dan visi strategik yang dimiliki, beliau membawa banyak pengalaman dan kepakaran kepada syarikat.

“Pelantikan beliau amat bermakna dalam perjalanan kami untuk membantu lebih ramai orang untuk menjalani Kehidupan yang Lebih sihat, berpanjangan dan bermakna.

“Saya teruja untuk bekerjasama dengan Gooi dalam menavigasi persekitaran industri insurans yang dinamik ini serta memacu syarikat ke tahap kejayaan yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau mewakili pihak pengurusan, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ching atas bimbingan dan sokongan berterusan beliau selama ini.

“Setelah menyertai Lembaga Pengarah pada kemuncak penggabungan AIA dan syarikat ING, En. Ching telah memantau secara strategik dan membimbing pasukan pengurusan ketika proses integrasi kedua-dua entiti berkenaan.

“Baru-baru ini, beliau telah memainkan peranan penting dalam pemisahan lesen komposit insurans am dan hayat AIA Malaysia dengan penubuhan AIA General Berhad, di mana beliau kekal sebagai Pengerusi Lembaga Pengarahnya. Saya amat menghargai sumbangan besar beliau kepada syarikat dan berterima kasih atas masa yang diluangkan bersama kami,” tambah Ben. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN