EPIC rekod perolehan RM343.1 juta tahun lalu

EPIC rekod perolehan RM343.1 juta tahun lalu

AHMAD Samsuri Mokhtar (tengah) bergambar selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-4 EPIC di Kuala Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu berjaya merekodkan perolehan sebanyak RM343.1 juta bagi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK2022).

Ia adalah peningkatan 17 peratus berbanding RM292.2 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

EPIC dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM179.1 juta atau 52 peratus adalah daripada perkhidmatan pangkalan bekalan.

“Selain itu, sebanyak RM93.0 juta (27 peratus) adalah daripada perkhidmatan kejuruteraan, RM60  juta (18 peratus) adalah daripada operasi pelabuhan dan RM11 juta (tiga peratus) daripada segmen tenaga boleh baharu (TBB) iaitu tenaga solar.

“Pertumbuhan perolehan direkodkan Kumpulan bagi TK2022 adalah sumbangan pencapaian yang memberangsangkan oleh Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn. Bhd. (PBKSB) yang mencatatkan perolehan tinggi berikutan peningkatan aktiviti minyak dan gas di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).

“Selain PBKSB, EPIC OG Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat EPIC Berhad yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan khususnya bagi operasi sektor minyak dan gas, turut merekodkan perolehan yang baik sekaligus mendorong kepada peningkatan perolehan di peringkat kumpulan,” katanya.

Semua kejayaan itu diumumkan EPIC dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-42 yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di sini, semalam.

Tambah kenyataan itu, EPIC Berhad juga mencatatkan peningkatan keuntungan bersih selepas cukai (PAT) kepada RM3.9 juta berbanding RM2.8 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 pula, Kumpulan EPIC menyasarkan perolehan sebanyak RM387.2 juta iaitu 13 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.

“Dengan sasaran perolehan yang lebih tinggi, PBT dianggarkan naik 14 peratus daripada RM21.7 juta kepada RM24.7 juta, manakala PAT pula dianggarkan meningkat lebih dua kali ganda atau lebih daripada 100 peratus kepada RM9.3 juta berbanding rekod RM3.9 juta tahun lalu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN