Ekosistem EV belum lengkap

Ekosistem EV belum lengkap

CHANG Lih Kang (kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengurus Besar Malaysia, Alibaba Cloud Intelligence, Kun Huang (dua kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Agmo Holdings Berhad, Tan Aik Keong di MMU Cyberjaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Rakyat negara inikurang berminat dengan penggunaan kenderaan elektrik (EV) kerana suasana ekosistem teknologi itu di Malaysia belum lagi lengkap.

Perkara tersebut diakui oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kah sambil memberi contoh hanya ada 1,000 stesen pengecas EV yang dianggapnya terlalu sedikit.

“Justeru, kerajaan perlu mempergiatkan lagi usaha kerana buat sementara waktu, kita belum ada ekosistem EV yang lengkap,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Terdahulu, beliau menyaksikan pemeteraian kerjasama firma teknologi awan ternama, Alibaba Cloud dengan syarikat penyelesaian digital tempatan, Agmo Holdings Berhad.

Usahasama itu bagi melancarkan secara rasmi aplikasi raya pertama seumpamanya di negara ini berkaitan EV dikenali sebagai Agmo EV Super App.

Malaysia pada masa ini dilaporkan memiliki lebih 100,000 EV pelbagai jenama yang didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setakat akhir tahun lalu.

Walau bagaimanapun, jumlah stesen pengecas pula kurang 900 buah berbanding negara jiran, Singapura yang memiliki lebih 3,600 buah untuk kegunaan hampir 7,000 EV.

Mengulas lanjut, Lih Kah mengakui kekurangan bilangan stesen berkenaan menyebabkan pengeluar EV berasa bimbang menjual kenderaan terbabit di negara ini.

“Sehubungan itu, kerajaan menetapkan sasaran agar menjelang 2025, Malaysia perlu ada 10,000 buah stesen pengecas bagi menggalakkan rakyat berminat membeli EV,” jelasnya.

Usaha jangka panjang itu ujar beliau, selaras dengan pelan hala tuju EV kebangsaan yang menyasarkan 15 peratus kenderaan di negara ini adalah jenis EV menjelang 2030.

Malah, pihak kerajaan katanya, optimis jika prasarana berkaitan ditambah baik, 38 peratus kenderaan di seluruh negara merupakan model EV apabila memasuki 2040 nanti.

Situasi sekarang pula jelas beliau, memperlihatkan pengeluar EV dan isu stesen pengecas yang tidak seimbang perlu ditangani tanpa mengira masalah siapa dahulu diutamakan.

Ditanya apakah langkah kementerian dalam jangka masa pendek menangani ekosistem kurang lengkap ketika ini, beliau berkata, satu pasukan petugas khas memang ada dibentuk.

Ia diketuai oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan pelbagai lagi kementerian termasuk kementerian beliau serta agensi berkaitan untuk menilai isu itu.

“Kami bekerjasama rapat bahkan ada pihak Tenaga Nasional Berhad dalam pasukan ini bagi kita memastikan semua stesen pengecas tiada masalah terputus bekalan,” katanya.

Lih Kah namun melahirkan keyakinan bahawa menjelang 2025, seluruh negara akan ada lebih 10,000 stesen pengecas bagi kemudahan pemilik EV terutama di kawasan bandar.

Pihak pengeluar kenderaan terbabit jelasnya, yang turut ada menyertai pasukan dibentuk itu bahkan bekerjasama dengan pihak kerajaan menggalakkan rakyat beralih kepada EV. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN