EcoWorld dalam landasan capai sasaran jualan RM1.4 bilion

EcoWorld International dalam landasan capai sasaran jualan RM1.4 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: EcoWorld International Berhad (EcoWorld International) mencapai jualan sebanyak RM619 juta, ditambah rizab RM299 juta, menjadikan jumlah RM918 juta dalam tujuh bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2023 (TK23).

Pemaju itu dalam satu kenyataan berkata, ia meletakkan Kumpulan di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan setahun penuh sebanyak RM1.4 bilion.

EcoWorld berkata, tumpuan untuk menjual stok siapnya telah menjana wang tunai yang banyak.

“Sejak menjadikan tunai bersih positif pada suku keempat 2022, jumlah tunai Kumpulan, deposit dan pelaburan lain terus meningkat kepada RM922 juta (tidak termasuk tunai yang dipegang dalam entiti usaha sama (JV) pada 30 April 2023). Ini melebihi baki pinjaman sebanyak RM652 juta.

“Termasuk bahagian baki tunai bersih entiti usaha sama Kumpulan, jumlah baki tunai bersih Kumpulan berjumlah RM727 juta pada 30 April.

“Ia termasuk peningkatan 218 peratus daripada kedudukan tunai bersih (termasuk tunai dalam JV) pada 31 Oktober 2022,” katanya

Pada 19 Jun, pemegang saham EcoWorld International meluluskan cadangan pengurangan modal Kumpulan itu sekali gus membuka laluan kepada pengagihan lebihan tunai yang dirancang kepada pemegang saham dalam bentuk dividen.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Teow Leong Seng berkata, pemegang saham yang memegang 99.992 peratus saham mengundi EcoWorld International memihak kepada cadangan pengurangan modal Kumpulan itu, pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 19 Jun.

“Ini menandakan sokongan hampir sebulat suara bagi rancangan Kumpulan untuk menumpukan usaha kami pada pengewangan stok siap kami, pemeliharaan tunai dan penjanaan dengan tujuan untuk mengagihkan pulangan tunai berlebihan kepada pemegang saham.

“Dengan kelulusan pemegang saham kami yang dijamin, kami menjangkakan dapat menyelesaikan cadangan pengurangan modal kami menjelang Ogos 2023.

“Selepas itu, berdasarkan rizab tunai bersih yang besar lebih daripada RM700 juta terkumpul pada 30 April, kami berada di landasan yang betul untuk mampu mengisytiharkan dividen tranche pertama berjumlah sekurang-kurangnya RM300 juta dalam tempoh terdekat.

“Kami juga akan berusaha ke arah mencapai jumlah sasaran pengagihan RM900 juta yang ditetapkan untuk 2023,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN