CPOPC: Penyertaan Thailand bakal kukuhkan ASEAN

CPOPC: Penyertaan Thailand bakal kukuhkan ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyertaan Thailand dalam Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) bersama Malaysia dan Indonesia bakal mengukuhkan blok pengeluar minyak sawit dan getah di ASEAN.

Timbalan Setiausaha Agung CPOPC, Datuk Mohd. Nageeb Abdul Wahab berkata, ini kerana negara gajah putih itu merupakan pengeluar minyak kelapa sawit ketiga terbesar di dunia.

Bagaimanapun Mohd. Nageeb berkata, sehingga kini Thailand belum mengesahkan penyertaannya ekoran negara itu masih dalam pembentukan pentadbiran berikutan pilihan raya umum pada 14 Mei lalu.

Menurut beliau, Thailand pernah menyatakan minat untuk menyertai CPOPC, yang menangani langkah perlindungan diskriminasi terhadap pengeluar minyak sawit dan getah di rantau ini.

“Jadi, sebaik sahaja mereka membentuk kerajaan, CPOPC akan mengadakan satu lagi perbincangan dengan mereka dan saya harap InsyaAllah Thailand akan menyertai kami.

“Kami ingin Thailand menyertai CPOPC kerana Malaysia dan Indonesia juga ahli Jawatankuasa Menteri Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC).

“Jadi, kami beritahu Thailand jika Malaysia dan Indonesia boleh berada di dalam ITRC,  mereka juga perlu berbuat demikian untuk menyertai CPOPC bagi menguatkan lagi ASEAN,” katanya kepada pemberita sempena Persidangan Penanam Antarabangsa Ke-10 (IPC 2023) di sini.

IPC 2023 dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadilah Yusof.

Sebelum ini, Fadilah berkata, Malaysia telah mempelawa Thailand untuk bersama-sama menjadi ahli CPOPC untuk membolehkan suara negara pengeluar minyak sawit dan getah lebih lantar.

Mengulas lanjut, Mohd. Nageeb berkata, CPOPC turut mengadakan rundingan dengan negara penanam kelapa sawit yang lain antaranya, Papua New Guinea, Ghana, Nigeria dan Columbia untuk menyertai majlis berkenaan.

Jelas beliau, sekiranya rundingan berjaya, CPOPC akan mewakili kira-kira 93 peratus pengeluar minyak kelapa sawit dunia dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Jadi kita ada baki masa lagi dan kami optimis mereka akan menyertai MPOPC kerana mereka berminat tetapi kerana proses negara dan perundangan masing-masing ia mengalami sedikit kelewatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN