PETALING JAYA: Bank Simpanan Nasional (BSN) melebarkan jaringan kerjasama strategik dengan memeterai perjanjian persefahaman bersama empat syarikat berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan bagi pembiayaan peribadi untuk ibadah umrah dan pelancongan mesra muslim.
Syarikat terbabit ialah Maqbul Travel & Tours Sdn. Bhd., Labbaik Travel & Tours Sdn. Bhd., Fa Izin International Travel & Tours Sdn. Bhd. dan Mahabbaten Travel & Tours Sdn. Bhd.
Sebelum ini, BSN telah menjalinkan kerjasama strategik bersama dua syarikat pelancongan bagi menawarkan pakej pembiayaan peribadi yang sama menjadikan jumlah keseluruhan kepada enam syarikat.
Perjanjian ditandatangani oleh Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid bersama Pengarah Urusan Maqbul Travel & Tours, Firdaus Hamdi Ibrahim ; Pengarah Urusan Labbaik Travel & Tours, Muhidin Mokter; Pengarah Operasi Fa Izin International Travel & Tours, Farid Shukor dan Pengarah Urusan Mahabbaten Travel & Tours, Redzwan Idris di Shah Alam, semalam.
Mujibburrahman berkata, melalui pemeteraian bersama syarikat-syarikat terlibat ini secara tidak langsung memberi lebih pilihan kepada pelanggan yang layak mengikut syarak untuk memilih pakej umrah dan pakej pelancongan muslim menggunakan kemudahan pembiayaan BSN.
“Justeru, saya menyeru orang ramai untuk mendapatkan skim pembiayaan ini yang mana ia terbuka kepada pelanggan dari sektor kerajaan dan swasta terpilih,” katanya dalam kenyataan.
Menurut BSN, pembiayaan peribadi yang ditawarkan adalah di bawah pembiayaan Islamik dengan konsep ‘Tawarruq’.
Jumlah pembiayaan pula adalah RM10,000 hingga RM400,000 bergantung kepada pakej pembiayaan dimohon serta kelayakan pemohon. Tempoh pembiayaan ditawarkan antara 2 hingga 10 tahun.
Di samping itu, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk memohon pembiayaan itu melalui pelan kemudahan sandaran Sijil Simpanan Premium (Sandaran SSP).
Skim pembiayaan itu turut menawarkan perlindungan takaful bagi jaminan pelunasan penuh pembiayaan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini dan tidak akan mendatangkan bebanan hutang kepada ahli keluarga pemohon. – UTUSAN










