PETALING JAYA: Bermaz Auto Berhad (BAuto) merekodkan pendapatan dan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi masing-masing berjumlah RM1.07 bilion dan RM139.5 juta pada suku keempat tahun kewangan berakhir 30 April 2023.
Bagi tempoh berkenaan, syarikat merekodkan keuntungan selepas cukai berjumlah sebanyak RM107.6 juta berbanding RM80 juta suku sama tahun kewangan sebelumnya.
Menurut BAuto, peningkatan pendapatan sebanyak RM175.0 juta atau 19.5 peratus daripada suku keempat tahun kewangan sebelumnya terutamanya disebabkan oleh pendaftaran baki tempahan yang tidak dipenuhi (dibuat sebelum 30 Jun 2022) pada Februari dan Mac 2023 untuk layak mendapat insentif pengecualian cukai jualan.
Tempahan kenderaan dibuat sebelum 30 Jun 2022 dibenarkan untuk didaftarkan pada 31 Mac 2023 masih boleh menikmati insentif tersebut.
“Selaras dengan peningkatan hasil dan sumbangan yang lebih tinggi daripada pasaran baharu, keuntungan sebelum cukai Kumpulan juga meningkat sebanyak RM24.1 juta atau 20.9 peratus berbanding suku tahun sebelumnya,” katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Syarikat itu berkata, bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2023, Kumpulan merekodkan pendapatan dan keuntungan pra cukai lebih tinggi berjumlah RM3.55 bilion dan RM421.2 bilion, berbanding RM2.32 bilion dan RM217.7 bilion tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
Lembaga Pengarah telah melulus dan mengisytiharkan dividen interim keempat satu peringkat sebanyak 3.50 sen sesaham dan dividen khas sebanyak 7.50 sen yang akan dibayar pada 4 Ogos 2023. Ia menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan untuk tahun kewangan berakhir 30 April 2023 kepada 22.00 sen.
Mengenai prospek masa hadapan, BAuto berkata, sektor automotif terus menghadapi cabaran berterusan seperti kekurangan bekalan mikrocip dan komponen, kelewatan bekalan kenderaan, keadaan kewangan yang lebih ketat, peningkatan kadar faedah, ketidaktentuan dalam konflik geopolitik dan pertumbuhan global yang lebih lemah
Katanya, pelancaran model facelift baharu dan/atau baharu bagi jenama sedia ada Kumpulan iaitu, Mazda, Peugeot dan Kia, masih sangat bergantung kepada sentimen pasaran dan keadaan ekonomi ketika itu. – UTUSAN










