PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) dan IJM Land Berhad (IJM Land) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menggalakkan pemilikan hartanah hijau yang menyumbang ke arah persekitaran lebih mampan.
Kerjasama itu bakal memudahkan akses pembeli rumah kepada pakej pembiayaan gadai janji oleh Alliance Bank untuk hartanah hijau dibangunkan IJM Land.
Menurut Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank, Gan Pai Li, ketika Bank semakin maju ke arah menjadi organisasi yang berfokuskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Bank terus berinovasi terhadap penyelesaian pelanggan untuk memenuhi keperluan mereka yang semakin berkembang.
“Perkongsian strategik dengan IJM Land sejajar dengan aspirasi ESG kami serta matlamat untuk menjadi bank untuk komuniti, menyokong mereka perjalanan pemilikan rumah.
“Kami berharap dapat meluaskan jangkauan kami ke pasaran sasaran utama, membolehkan lebih banyak lagi perniagaan dan pelanggan untuk menerima pakai amalan mampan dan mencipta impak yang lebih bermakna untuk masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Alliance Bank, pihaknya menyasarkan untuk mencapai RM10 bilion dalam perniagaan perbankan mampan baharu menjelang tahun kewangan 2025 (TK2025) sebagai sebahagian daripada matlamat kemampanan yang merangkumi pengurangan pelepasan gas rumah hijau.
Alliance Bank merekodkan RM6.7 bilion dalam perniagaan perbankan mampan baharu.
Perkongsian dengan IJM Land menyokong peluang pertumbuhan Alliance Bank yang dikenal pasti di bawah Strategi Acceler8, yang akan menyaksikan Bank meluaskan tumpuannya ke dalam segmen pengguna pada pembiayaan hartanah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land, Datuk Wong Tuck Wai pula berkata, memandangkan impak tinggi industri pembinaan terhadap alam sekitar, JPM Land telah membuat inovasi dan kemampanan ekologi pemacu utama strategi pertumbuhannya.
Beliau berkata, dengan cara itu, setiap produk yang dicipta bukan sahaja relevan, tetapi juga bertanggungjawab.
“Pakej ini sangat sesuai dengan cadangan nilai hijau dan sihat IJM Land serta membolehkan pembeli rumah menggunakan tawaran kami sebagai titik permulaan untuk perjalanan mampan mereka ke arah pemilikan rumah hijau,” tambah Tuck Wai. – UTUSAN










