Untung sebelum cukai IOI Properties melonjak 86 peratus

Untung sebelum cukai IOI Properties melonjak 86 peratus kepada RM1.32 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan sebelum cukai (PBT) IOI Properties Group Berhad (IOI Properties) melonjak 86 peratus kepada RM1.32 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2023 daripada RM708.7 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Pendapatan Kumpulan juga turut meningkat sebanyak tiga peratus kepada RM1.93 bilion berbanding RM1.87 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Naib Pengerusi Eksekutif IOI Properties, Lee Yeow Seng berkata, segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang terbesar Kumpulan selain peningkatan ketara dalam PBT turut disumbang oleh prestasi kukuh yang dijana melalui pelaburan hartanah dan segmen hospitaliti serta riadah.

Yeow Sang berkata, pihaknya amat gembira dengan usaha daya tahan IOI Properties dalam mencapai keputusan yang membanggakan sepanjang sembilan bulan TK2023.

“Kami sedar bahawa persekitaran operasi di dalam dan di luar Malaysia akan terus menghadapi beberapa masalah.

“Bagaimanapun, penawaran produk kami yang luas daripada segmen pembangunan hartanah, pendapatan berulang daripada portfolio pelaburan hartanah yang mantap dan prospek yang lebih baik untuk sektor pelancongan akan menyediakan Kumpulan dengan asas yang kukuh untuk memastikan pendapatan yang mampan di hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Yeow Sang, segmen pembangunan hartanah berjaya memperoleh jualan dengan pertukaran kontrak sebanyak RM1.37 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2023.

Katanya, projek tempatan menyumbang RM1.14 bilion, iaitu sebanyak 83 peratus daripada jumlah jualan, manakala projek luar negara dari China dan Singapura menyumbang RM226.5 juta, atau 17 peratus.

Mengulas kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) awal bulan ini, Yeow Sang berkata, IOI Properties akan terus menumpukan pada penawaran unit kediaman julat harga sederhana.

“Peningkatan OPR baru-baru ini telah membawa kepada kenaikan 125 mata asas terkumpul sejak Mei 2022 dan walaupun pasaran yang lemah, Kumpulan akan terus meningkatkan pertumbuhan.

“Kami akan menumpukan pada tawaran unit kediaman dengan julat harga sederhana serta menyasarkan pemilik yang kurang sensetif terhadap kenaikan OPR,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×