PETALING JAYA: Keuntungan bersih MISC Berhad bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (S1) melonjak 62.83 peratus kepada RM612.9 juta daripada RM376.4 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Keuntungan it didorong oleh segmen perkapalan petroleum dan produknya, serta bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada usaha sama (JV).
Hasil bagi suku dalam tinjauan meningkat kepada RM3.08 bilion daripada RM2.87 bilion.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MISC berkata, segmen petroleum dan perkapalan merekodkan pendapatan RM1.21 bilion atau 36.6 peratus lebih tinggi daripada hasil suku yang sama berikutan kadar tambang yang lebih tinggi pada suku semasa.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Kapten Rajalingam Subramaniam berkata, prestasi teguh Kumpulan didorong oleh kekuatan teras dalam menjalin perkongsian dengan pelanggan strategik.
“Namun begitu, kami prihatin terhadap pertumbuhan global yang semakin perlahan dan keperluan tenaga yang berubah-ubah di seluruh dunia.
“Semasa kami memulakan perjalanan transformasi perniagaan, kami berazam untuk merebut peluang ini, memanfaatkan kekuatan kewangan dan jenama kami, di peringkat serantau dan global.
“Mengenai prospek masa depan dalam pasaran perkapalan gas asli cecair (LNG), kadar spot kekal lemah pada suku pertama 2023 kerana musim sejuk yang sederhana dan inventori simpanan gas yang mencukupi di Eropah dan negara utama Asia menyumbang kepada peningkatan ketersediaan kargo,” katanya.
Jelasnya, hasil daripada kadar spot yang lemah, terdapat peningkatan keutamaan oleh penyewa untuk mengunci sewa pada kadar sewa masa tetap berikutan ketidaktentuan dalam pasaran.
Walaupun prospek kekal positif kerana permintaan menunjukkan tanda-tanda pemulihan, MISC berkata, pertumbuhan bekalan yang terhad akan mengekalkan keseimbangan bekalan dan permintaan pada 2023.
Pendapatan operasi bagi segmen Aset dan Penyelesaian Gas dijangka kekal stabil, ditaja jamin oleh portfolio piagam jangka panjang.
Sementara itu, kadar pasaran bagi pasaran perkapalan petroleum kekal kukuh pada S1 2023 walaupun permintaan bermusim berkurangan dan kadar kapal tangki yang sederhana.
Tinjauan pasaran kapal tangki kekal positif kerana peralihan dalam corak perdagangan baru-baru ini menyokong permintaan dan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan aliran minyak mentah Russia telah berkurangan. – UTUSAN










