PETALING JAYA: Saham daripada tawaran awam permulaan (IPO) syarikat Synergy House Berhad (Synergy House) yang diperuntukan untuk orang awam, terlebih langganan sebanyak 14.02 kali.
Menurut penjual e-dagang rentas sempadan dan pengeksport perabot rumah sedia dipasang (RTA) itu, IPO syarikat melibatkan penerbitan 130 juta saham atau 26 peratus jumlah saham terbitan Kumpulan yang diperbesarkan, terdiri daripada terbitan awam sebanyak 80 juta saham dan tawaran untuk jualan sebanyak 50 juta saham.
Jelasnya, terbitan saham itu melibatkan tawaran runcit sebanyak 25 juta saham melalui pengundian kepada orang ramai Malaysia dan 12.5 juta saham kepada orang yang layak terdiri daripada pengarah, pekerja dan rakan perniagaan.
Selain itu, ia juga melibatkan tawaran untuk penempatan persendirian sebanyak 30 juta saham kepada pelabur terpilih dan 12.5 juta saham kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Antarabangsa (MITI).
Lagi 50 juta sama melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh MITI.
“Sebanyak 12,347 permohonan untuk 375,416,300 saham terbitan dengan nilai RM161,429,009 diterima daripada orang ramai Malaysia, mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 14.02 kali.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 7,277 permohonan untuk 164,159,100 saham terbitan diterima bagi bahagian bumiputera, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 12.13 kali. Bagi bahagian awam Malaysia yang selebihnya, sejumlah 5,070 permohonan untuk 211,257,200 saham terbitan telah diterima, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 15.90 kali.
“Sebanyak 12.5 juta saham terbitan yang disediakan untuk permohonan oleh orang yang layak juga telah dilanggan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Eksekutif Synergy House, Tan Eu Tah mengucapkan terima kasih kepada pelabur atas kepercayaan mereka terhadap syarikat dan potensi Synergy House.
“Permintaan pasaran untuk perabot rumah kekal teguh dan kami percaya Kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pasaran e-dagang perabot global yang semakin berkembang,” katanya.
Synergy House akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 1 Jun 2023. – UTUSAN










