Nilai jualan suku pertama sektor pembuatan RM449.4 bilion

Nilai jualan suku pertama sektor pembuatan berjumlah RM449.4 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan pada suku pertama 2023 meningkat sebanyak 8.2 peratus kepada RM449.4 bilion berbanding suku yang sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tersebut disumbangkan oleh subsektor produk peralatan elektrik & elektronik (10.6 peratus); produk petroleum, kimia, getah & plastik (7.7 peratus); dan produk makanan, minuman & tembakau (6.0 peratus).

Beliau berkata, bilangan pekerja bagi tempoh tersebut bertambah 2.8 peratus berjumlah 2.35 juta orang dengan gaji & upah tumbuh 4.3 peratus kepada RM24.5 bilion.

“Selain itu, nilai jualan setiap pekerja mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus, berjumlah RM191,141,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Uzir berkata, bagi bulanan pula, nilai jualan sektor pembuatan berkembang 8.0 peratus kepada RM156.2 bilion pada Mac lalu, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Kata beliau, pengembangan disokong oleh pertumbuhan dua digit dalam subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain sebanyak 14.6 peratus dan peralatan elektrik dan elektronik 12.7 peratus.

Beliau berkata, berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan kembali mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 7.6 peratus selepas mencatatkan penurunan berterusan sejak Disember 2022.

Katanya, nilai jualan industri berorientasikan eksport yang menyumbang lebih dua pertiga atau 71.7 peratus daripada jumlah jualan, meningkat 7.3 peratus pada Mac 2023 selepas mencatatkan pertumbuhan 9.9 peratus bulan sebelumnya.

“Kenaikan tersebut disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan kukuh yang dicatatkan dalam Pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (14.1 peratus) dan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (12.7 peratus).

“Selari dengan itu juga, industri berorientasikan domestik mencatatkan pertumbuhan stabil sebanyak 9.9 peratus (Februari 2023: 11.3 peratus) disokong oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler (18.6 peratus) dan pembuatan produk prosesan makanan (9.9 peratus). Berbanding Februari 2023, kedua-dua industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing meningkat kepada 8.6 peratus dan 5.1 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas bilangan pekerja, Ketua Perangkawan berkata, seramai 2.35 juta pekerja terlibat dalam sektor pembuatan pada Mac 2023, meningkat sebanyak 2.8 peratus daripada 2.29 juta orang yang direkodkan tahun lalu. Kenaikan ini didorong terutamanya oleh subsektor produk makanan, minuman & tembakau (5.3 peratus); peralatan elektrik & elektronik (4.2 peratus); dan produk kayu, perabot, keluaran kertas & percetakan (2.3 peratus).

Katanya, bilangan pekerja yang terlibat dalam ketiga-tiga subsektor ini merangkumi lebih separuh daripada jumlah keseluruhan dalam sektor pembuatan. Berbanding bulan sebelumnya, bilangan pekerja meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus.

Jelas beliau, selaras dengan peningkatan bilangan pekerja, gaji & upah yang dibayar dalam sektor Pembuatan meningkat sebanyak 4.2 peratus tahun ke tahun yang berjumlah RM8.17 bilion pada Mac 2023.

“Berbanding dengan bulan sebelumnya, gaji & upah meningkat secara marginal sebanyak 0.1 peratus daripada RM8.16 bilion. Tambahan lagi, purata gaji & upah bulanan bagi setiap pekerja mencatatkan peningkatan sebanyak 1.3 peratus berbanding setahun lalu dengan nilai RM3,475 manakala nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat 5.1 peratus kepada RM66,430,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN