MMC Ports selesai operasi pemindahan STS pertama

MMC Ports selesai operasi pemindahan STS pertama di Pelabuhan Yan

DUA kapal tangki yang membawa kargo jenis minyak sedang menjalankan operasi pemindahan kargo dari Kapal-ke-Kapal atau Ship-to-Ship (STS) di Pelabuhan Yan, Kedah. - GAMBAR MMC PORTS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MMC Port Holdings Sdn. Bhd. (MMC Ports), menerusi anak syarikat penuh miliknya, Andaman Port Sdn. Bhd. berjaya menyempurnakan operasi pemindahan kargo dari kapal ke kapal atau Ship-to-Ship (STS) di Pelabuhan Yan, Kedah.

Operasi STS itu berjaya dilaksanakan pada 25 hingga 26 April lalu di salah satu daripada 10 lokasi yang diluluskan, terletak 5 batu nautika dari pesisiran Pulau Bunting.

Menurut MMC Ports, pihak­nya sedang memajukan Pelabuhan Yan sebagai hab untuk operasi STS dan komited untuk menyediakan perkhidmatan STS yang selamat dan efisien.

“Pelabuhan Yan terletak di lokasi yang strategik iaitu di laluan utama perkapalan antarabangsa yakni di bahagian uta­ra Selat Melaka dan kedalaman laut sehingga 30 meter sesuai untuk semua jenis kapal se­perti VLCC dan Q-Max,” katanya dalam kenyataan.

MMC Ports berkata, operasi STS yang pertama kali di dalam had Pelabuhan Yan, berjaya dilaksanakan dengan mematuhi kriteria dan tahap keselamatan yang tinggi sebagaimana ditetapkan oleh pihak berkuasa tanpa mengabaikan kelestarian ekosistem laut dan alam sekitar.

Jelasnya, kejayaan operasi STS hasil kerjasama yang baik dan utuh dengan pihak-pihak berkuasa Persekutuan dan ne­geri termasuk Kementerian Pe­ngangkutan, Jabatan Laut Malaysia, Kerajaan Negeri Kedah serta lain-lain agensi kerajaan yang turut terlibat bagi memastikan ia berjalan lancar, selamat dan efisien.

“MMC Ports mempunyai keupayaan dan kepakaran dalam penyediaan perkhidmatan marin yang komprehensif dengan tahap keupayaan prestasi yang kukuh untuk mengendalikan pelbagai jenis kargo,” tambah­nya.

Tambahnya lagi, MMC Ports telah menerima beberapa tempahan tetap pada suku tahun seterusnya dari Asia Barat, China dan Korea untuk melaksanakan aktiviti STS di Pelabuhan Yan bagi pemindahan kargo-kargo seperti minyak mentah, gas asli cecair (LNG) dan gas petroleum cecair (LPG). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×