SEREMBAN: Syarikat pengeluar produk kicap dan sos makanan, Mahsuri Food Sdn. Bhd. (Mahsuri Food) mahu meningkatkan jenama Mahsuri ke peringkat global termasuk menembusi pasaran Amerika Syarikat.
Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Food, Datuk Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, sasaran itu selari dengan pembukaan kilang baharu syarikat tersebut yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal 2025 di Halal Park, Bandar Enstek, Nilai di sini.
Jelas beliau, kilang baharu tersebut dibina dengan nilai pelaburan sebanyak RM250 juta sekali gus dilihat dapat melonjakkan Mahsuri Food sebagai sebuah syarikat yang kompetitif.
“Dengan keluasan 24,000 meter persegi, tapak baharu ini akan membolehkan Mahsuri Food meningkatkan kapasiti pengeluaran serta menyediakan produk halal berkualiti tinggi untuk pelanggan-pelanggan kami.
“Kami percaya bahawa dengan adanya kilang ini, bukan sahaja dapat kami tingkatkan jenama Mahsuri di Malaysia malah menjadi tumpuan di peringkat global,” katanya berucap pada Majlis Pecah Tanah Tapak Kilang Syarikat Mahsuri Food Sdn. Bhd. di Halal Park Bandar Enstek, Nilai di sini, hari ini.
Majlis simbolik tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurut Mohd. Roslan lagi, kilang yang dibina itu bakal dilengkapi dengan teknologi moden mesin Rotary-type Koji Making yang akan menjadikan Mahsuri Food syarikat pertama menggunakan teknologi canggih tersebut di rantau Asia Tenggara.
Kata beliau lagi, kilang itu juga akan mempunyai tempat pembuatan, gudang, makmal jaminan kualiti, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), pejabat serta kemudahan sosial.
“Bagi melaksanakan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Mahsuri Food juga akan mendirikan kemudahan yang sesuai untuk meningkatkan penjimatan sumber serta menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui agar dapat meminimumkan penggunaan tenaga konvesional.
“Oleh itu, Mahsuri Food berhasrat untuk mencapai pensijilan Kepimpinan dalam Tenaga dan Rekabentuk Alam Sekitar (LEED) yang mana kilang ini dapat berfungsi dengan efisien, penjimatan kos serta baik untuk alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan pelaburan baharu ke negeri ini dan mengharapkan dengan kemasukan kilang Mahsuri Food ke Negeri Sembilan akan dapat merancakkan industri berasaskan makanan bukan sahaja di negeri ini malah ke seluruh negara.
“Saya amat berbangga dengan pelaburan Mahsuri Food yang bernilai lebih RM 250 juta, telah memilih Negeri Sembilan sebagai pusat pengilangan sos makanan dan seterusnya mewujudkan satu ekosistem baharu dalam industri yang berkaitan dengannya.
“Pembukaan kilang baharu ini pastinya akan menyumbangkan ke arah pembangunan prasarana pengeluaran produk halal, rangkaian pemasaran dalam dan luar negara serta pembangunan sosioekonomi yang akan berpusat di negeri ini,” katanya. – UTUSAN










