KDNK Malaysia tumbuh 5.6 peratus suku pertama 2023

KDNK Malaysia tumbuh 5.6 peratus suku pertama 2023

NOR Shamsiah Mohd. Yunus (kanan) dan Mohd. Uzir Mahidin pada sidang akhbar pengumuman KDNK suku pertama 2023 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan positif apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 (S1 2023) berbanding 5.0 peratus tempoh sama tahun lalu.

Pertumbuhan berkenaan bagaimanapun lebih perlahan berbanding 7.1 peratus yang direkodkan pada S4 tahun lalu.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus, berkata, pertumbuhan ekonomi negara yang positif itu didorong terutamanya oleh permintaan dalam negara.

Menurut Nor Shamsiah, pasaran pekerja yang bertambah baik serta peningkatan guna tenaga yang mantap dan upah yang terus meningkat telah menyokong penggunaan swasta selain aktiviti pelaburan disokong oleh pengembangan kapasiti dan projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan.

“Pelancongan ke dalam nege­ri yang terus pulih meningkatkan eksport perkhidmatan dan sebahagiannya mengimbangi per­tumbuhan eksport barangan yang lebih perlahan.

“Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 0.9 peratus berbanding -1.7 peratus pada S4 2022,” katanya pada sidang media prestasi ekonomi suku pertama 2023 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata, pertumbuhan Malaysia juga akan kekal berdaya tahan pada tahun ini disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.

Beliau berkata, meskipun menghadapi rintangan global, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 4.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi tahun 2023 didorong permintaan dalam negeri yang kukuh.

Jelasnya tenaga dan pendapatan yang bertambah baik serta pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun akan menyokong aktiviti penggunaan dan pelaburan.

“Aktiviti pelancongan ke dalam negeri yang lebih giat akan menyokong industri perkhid­matan yang berhubung rapat dengan pelanggan,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, risiko terhadap prospek pertumbuhan Malaysia secara relatif seimbang.

Katanya risiko pertumbuhan menjadi tinggi berpunca ter­utamanya daripada faktor dalam negeri, termasuk aktiviti pelancongan yang lebih giat daripada jangkaan dan pelaksanaan projek termasuk projek yang dinyatakan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023.

“Sementara itu, risiko pertumbuhan menjadi perlahan boleh berpunca daripada eksport yang lebih rendah di­sebabkan oleh pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan global yang semakin tidak menentu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd.. Uzir Mahidin berkata, prestasi ekonomi bagi S1 2023 dari segi penawaran dipacu oleh kesemua sektor khususnya perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Beliau berkata, dari segi permintaan, perbelanjaan penggunaan akhir swasta dan pembentukan modal tetap kasar terus memacu pertumbuhan ekonomi pada suku tahun ini.

“Dari segi prestasi sektoral, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia, meningkat 7.3 di mana prestasi memberangsangkan ini disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit sebanyak 9.4 peratus, pengangkutan dan penyimpanan 17 peratus, perkhidmatan perniagaan 16.2 peratus dan makanan dan minuman dan penginapan 12 peratus.

“Sektor Pembuatan pula berkembang sederhana 3.2 peratus bagi S1 2023 dipacu oleh produk elektrik, elektronik dan optikal sebanyak 3.8 peratus, diikuti oleh peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan 7.7 peratus dan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan dan pemprosesan makanan 7.2 peratus,” katanya.

Tambah beliau lagi, sektor pembinaan berkembang 7.4 peratus bagi S1 2023 disumbang oleh pertumbuhan positif dalam Kejuruteraan awam sebanyak 15.9 peratus, aktiviti pembinaan pertukangan khas 8.7 peratus dan bangunan bukan kediaman 6.4 peratus.

“Sektor perlombongan dan pengkuarian meningkat 2.4 peratus disokong oleh kesemua aktiviti terutamanya subsektor minyak mentah dan kondensat yang meningkat 4.0 peratus pada suku tahun ini, manakala, gas asli bertumbuh pada kadar perlahan sebanyak 0.6 peratus.

“Di samping itu, sektor pertanian meningkat marginal sebanyak 0.9 peratus disokong prestasi lebih baik dalam subsektor kelapa sawit sebanyak 3.4 peratus dan pertanian lain 2.6 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya