PARIS: Ibu kota Perancis diletakkan dalam amaran merah manakala Sepanyol dan Portugal merekodkan suhu tinggi berterusan apabila gelombang haba yang melanda selatan Eropah mencetuskan amaran kesihatan.
Gelombang haba pertama musim panas ini melanda beberapa negara di sepanjang pantai utara Mediterranean, dan suhu laut juga mencatatkan rekod tertinggi untuk bulan Jun, menurut ahli meteorologi.
Agensi cuaca kebangsaan Perancis meletakkan Paris dan 15 wilayah lain dalam amaran cuaca tertinggi untuk hari Selasa, dengan suhu sehingga 41 darjah Celsius diramalkan.
Polis mengarahkan semua kenderaan tidak menggunakan jalan raya antara pukul 5:30 pagi hingga tengah malam di rantau Ile-de-France yang merangkumi ibu negara kerana pencemaran ozon berbahaya.
Ambulans bersiap siaga berhampiran lokasi tumpuan pelancong ketika pakar memberi amaran gelombang haba seperti ini, yang dicetuskan oleh perubahan iklim, akan menjadi lebih kerap berlaku.
Di Turkiye, pasukan penyelamat memindahkan lebih 50,000 orang yang terancam oleh siri kebakaran hutan dengan kebanyakan mereka berasal dari wilayah barat Izmir, di mana angin selaju 120 kilometer sejam meniup api marak.
Pasukan bomba turut bertarung dengan kebakaran yang berlaku pada hari Ahad di Itali, dipacu oleh haba dan angin kencang, manakala kira-kira 400 hektar tumbuhan musnah akibat kebakaran berhampiran lebuh raya di selatan Perancis.
Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada barbeku yang tidak dipadamkan dengan sempurna.
Beberapa bandar pula menawarkan pelbagai cara untuk menyejukkan diri, daripada kolam renang percuma di Marseille dan taman-taman dibuka hingga jam 11 malam di Bordeaux, hinggalah lawatan berpandu percuma untuk warga emas di muzium berhawa dingin di Venice.
REKOD BAHARU
Suhu di selatan Sepanyol mencecah 46 darjah Celsius pada hari Sabtu iaitu satu rekod baharu untuk bulan Jun.
Laut Mediterranean juga lebih panas daripada biasa, mencatatkan suhu tertinggi pada Jun iaitu 26.01 darjah Celsius pada hari Ahad, menurut saintis cuaca Perancis Thibault Guinaldo, berdasarkan data pemantauan EU, Copernicus.
Agathe Lacombe, pelancong dari Strasbourg yang melawat Madrid bersama keluarganya, menyifatkan gelombang haba itu sebagai ‘agak sukar’.
“Kita perlu ubah keseluruhan perancangan harian, lakukan semua pada waktu pagi dan pulang ke rumah ketika waktu paling panas untuk mencari sedikit kesejukan,” katanya kepada AFP.
Agensi meteorologi kebangsaan Portugal menyatakan suhu mencecah 46.6 darjah Celsius di Mora pada hari Ahad, sekali gus menjadi satu lagi rekod baharu bulan Jun.
Tujuh wilayah di tengah dan selatan Portugal, termasuk ibu kota Lisbon, juga diletakkan dalam amaran merah buat hari kedua berturut-turut pada hari Isnin, dengan amaran kebakaran di banyak kawasan berhutan.
Di Itali, imej yang disiarkan media tempatan menunjukkan orang ramai melarikan diri ke laut di sebuah pusat peranginan di Baia Domizia berhampiran Naples apabila api menjulang di hutan pain di belakang mereka.
“Saya tidak pernah mengalami apa-apa seperti ini, kami dikelilingi oleh api setinggi sekurang-kurangnya 30 meter, asap di mana-mana,” tulis Datuk Bandar Cellole yang berdekatan, Guido di Leone, di Facebook.
SUHU TINGGI BERTERUSAN
Di Perancis, malam dari Ahad ke Isnin mencatatkan suhu tertinggi dalam sejarah bulan Jun, dan gelombang haba dijangka memuncak pada hari Selasa dan Rabu.
Kerajaan menyatakan hampir 1,350 sekolah dijangka ditutup sepenuhnya atau sebahagiannya pada hari Selasa, iaitu hampir dua kali ganda berbanding hari Isnin.
Suhu tinggi ini dijangka berlanjutan hingga hujung minggu dan mungkin melebihi itu di Itali, menurut Antonio Spano, pengasas laman meteorologi ilmeteo.it.
Pihak berkuasa mengeluarkan amaran merah untuk 18 bandar dalam beberapa hari akan datang, termasuk Rom, Milan, Verona, Perugia dan Palermo.
Parti pembangkang di Itali menggesa kerajaan untuk memperbaiki keadaan dalam penjara negara yang panas terik, yang diketahui sesak dan tidak selesa.
Masalah yang sama turut menjejaskan penjara di Perancis dan kesatuan pengarah penjara menyifatkan keadaan itu sebagai ‘tidak tertanggung’.
TIDAK NORMAL
Di Croatia, sebahagian besar pantai diletakkan dalam amaran merah, manakala Montenegro turut mengeluarkan amaran suhu ekstrem.
Tanpa tanda-tanda kelegaan, perkhidmatan meteorologi Serbia memberi amaran ‘keadaan kemarau yang teruk dan ekstrem sedang berlaku’ di sebahagian besar negara itu.
Di Madrid, seorang jurugambar berusia 32 tahun, Diego Radames, memberitahu AFPTV dia mendapati kepanasan pada bulan Jun ini ‘tidak normal’.
“Setiap tahun yang berlalu, saya rasa Madrid semakin panas, terutamanya di pusat bandar,” katanya.
Perkhidmatan cuaca Met Office Britain menaikkan jumlah amaran haba warna jingga kepada tujuh wilayah pada hari Isnin, apabila suhu mencecah 34 darjah Celsius di London dan tenggara England.
BBC melaporkan suhu di Wimbledon mencecah 31.4 darjah Celsius pada pukul 3 petang waktu tempatan, menjadikannya hari pembukaan paling panas pernah dicatatkan.










