KOTA BHARU: Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) melabur hampir RM30 juta untuk membeli 20 buah bas baharu sebagai tambahan dan gantian kepada kenderaan sedia ada.
Pengerusi Eksekutifnya, Che Ibrahim Che Ismail berkata, pelaburan itu adalah usaha syarikat untuk kekal kompetitif dalam industri pengangkutan awam darat sekali gus menjamin keselamatan dan keselesaan kepada penumpang.
“Setakat ini, kami sudah menerima dua buah bas pada April lalu, manakala selebihnya akan diperolehi secara berperingkat sehingga akhir tahun ini
“Kesemua bas ini adalah daripada casis Scania yang mana ia bukan setakat proses jual beli, malahan turut melibatkan kontrak penyelenggaraan selepas jualan dan latihan kepada semua jurupandu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pengiktirafan Pertandingan ‘A Good Driver Scania 2021-2022’ oleh Scania di Ibu Pejabat E-Mutiara, Panji di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Perkhidmatan dan Operasi Scania Asia Tenggara, Thor Brenden.
Terdahulu, tiga jurupandu daripada E-Mutiara telah dipilih sebagai pemenang dan syarikat berkenaan turut diberi pengiktirafan ‘A Good Company’.
Mengulas lanjut, Che Ibrahim berkata, kesemua bas milik E-Mutiara dilengkapi sistem pengurusan kenderaan (FMS) bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan menjimatkan penggunaan bahan api.
Katanya, menerusi FMS, setiap pergerakan dan cara pengendalian bas akan dipantau secara langsung melalui solusi MyScania.
“Kecekapan mengendalikan bas akan membantu syarikat menjimatkan kos operasi harian serta menyumbang kepada penjagaan alam sekitar.
“Menerusi sistem ini, syarikat berjaya mengurangkan penggunaan bahan api dengan ketara dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak lebih 2.3 juta kilogram bersamaan dengan penanaman kira-kira 35,375 batang pokok sepanjang tempoh Disember 2021 hingga Disember 2022,” katanya. – UTUSAN










