KUALA SELANGOR: Aiskrim tempatan jenama Popsmalaya tembusi pasaran China selepas produk konfeksioneri itu berjaya dipasarkan di 14 buah negara termasuk Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pegawai Eksekutif Doluvo Sdn. Bhd. (Doluvo), Rose Yasmin Abdul Karim berkata, ia adalah pencapaian terbesar syarikatnya sejak ditubuhkan lebih enam tahun lalu.
“Saya memang hendak masuk ke sana kerana negara itu mempunyai populasi paling tinggi di dunia, iaitu dianggarkan 1.4 bilion orang kerana sebelum ini aiskrim Popsmalaya berjaya masuk ke Australia, Kuwait, Jerman dan beberapa negara lain.
“Sebagai permulaan, saya mengeksport 3,100 karton dianggarkan bernilai RM250,000 ke negara itu dan akan mengeksport lebih banyak lagi sekiranya mendapat sambutan,” katanya pada majlis flagoff aiskrim Popsmalaya di ibu pejabat Doluvo.
Tambahnya, beliau berterima kasih kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kerana membantu merealisasikan hasrat untuk memasarkan Popsmalaya ke negara tersebut.
Menurut Rose Yasmin, agensi kerajaan itu membantunya dari segi pemasaran, logistik dan nasihat perniagaan bagi membolehkan produknya menembusi pasaran China.
“Untuk peringkat awal, saya menyasarkan pengukuhan jenama dengan memperkenalkan Popsmalaya di sana. Saya mahu Popmalaya dikenali terlebih dahulu. Saya juga ada rancangan untuk mengeksport Popsmalaya ke beberapa buah negara pada tahun hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, pihaknya akan menawarkan Popsmalaya untuk menyertai pameran perdagangan yang dianjurkan di luar negara.
Melalui pameran tersebut menurutnya, syarikat Doluvo berpeluang memikat syarikat luar negara untuk mengeksport produk mereka. – UTUSAN









