PETALING JAYA: AEON Co. (M) Bhd. (AEON), berjaya melengkapkan fasa terakhir program Malaysia-Japan Friendship Forest di Bidor, Perak, Sabtu lalu.
Program penghutanan semula yang dimulakan pada 2014 itu, dilaksanakan melalui tiga fasa dengan sasaran menanam 30,000 pokok menjelang tahun depan dan akan diserahkan kepada kerajaan pada September 2024.
Pengarah Urusan AEON, Keiji Ono berkata, AEON memulakan projek itu bagi menyumbang kepada usaha kelestarian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam memulih dan menghijaukan semula kawasan bekas lombong bijih timah tersebut.
Kata beliau, matlamat program adalah untuk mencipta impak yang berkekalan selaras dengan prinsip AEON yang berteraskan “Kesejahteraan, Masyarakat, dan Perdamaian”.
Katanya, fasa pertama program pada 2014, sejumlah 8,000 pokok berjaya ditanam di atas 22.75 hektar tanah di Bidor, manakala fasa kedua dilaksanakan lima tahun kemudian, melibatkan penanaman tambahan 10,000 pokok.
“Tahun ini, AEON mencapai sasaran melengkapkan 30,000 pokok ditanam dalam fasa yang terakhir. Dengan melakukan inisiaitf seperti menanam pokok ini, kami yakin dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa AEON komited terhadap misi kelestarian kami untuk menekankan kepentingan perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Matlamat kami adalah untuk mengubah kawasan ini menjadi tapak yang akan ditumbuhi dengan pelbagai spesies pokok yang juga boleh menjadi sumber pendidikan untuk masyarakat setempat,” kata beliau dalam kenyataan.
Acara di FRIM Forest Research, Bidor disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau), Teh Kok Lim.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) di Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Abdul Wahid Abu Salim; Ketua Pengarah FRIM, Dr. Ismail Parlan dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Sandrea Ng Shy Ching.
Sebagai merayakan sambutan ulang tahun ke-39 AEON tahun ini, sebanyak 3,900 batang pokok ditanam pada majlis tersebut. Jumlah selebihnya akan dilengkapkan secara berperingkat dengan bantuan FRIM. Spesis pokok yang ditanam termasuk dari spesis saga, pulai, keriung, ara meranti, damar hitam dan banyak lagi. – UTUSAN











