PETALING JAYA: Sunway REIT Management Sdn. Bhd. (Sunway REIT) sedang mengintai peluang memperluaskan pasarannya melalui pengambilalihan luar negara di United Kingdom (UK), Jepun dan Australia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata, rancangan itu selaras dengan strategi syarikat berkenaan seperti yang digariskan dalam pelan hala tuju TRANSCEND 2027 (TC2027) miliknya.
Menurut beliau, UK, Jepun dan Australia merupakan pasaran yang lebih maju bagi pelaburan amanah hartanah luar negara memandangkan kesemua 20 aset yang dimilikinya buat masa ini berada di dalam Malaysia.
“Pengambilalihan luar negara ini merupakan strategi bagi membantu Sunway REIT mengembangkan nilai asetnya kepada RM14 bilion hingga RM15 bilion menjelang 2027 daripada RM9.1 bilion pada 31 Disember 2022.
“Kami cukup yakin berdasarkan peluang yang datang dan pada masa sama kami amat berhemah mengenai rancangan itu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Sunway REIT, di sini semalam.
Beliau berkata, Sunway REIT dalam proses merangka dasar mengenai pemerolehan aset asing berkenaan dan akan beralih ke peringkat seterusnya setelah ia selesai.
Katanya, syarikat berkenaan tidak akan terburu-buru dalam melaksanakan rancangan berkenaan memandangkan terdapat banyak pertimbangan yang perlu diambil kira.
“Kita tidak akan tergesa-gesa dalam perkara ini memandangkan banyak yang perlu dipertimbangkan seperti pertukaran mata wang dan ketelusan cukai.
“Sebaik sahaja dasar itu dilaksanakan kami akan meminta lembaga pengarah untuk menyokongnya dan kemudian barulah kita akan memulakan pengambilalihan di luar negara,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, Sunway REIT optimistik mengenai tahun kewangan 2023 (TK2023) yang disokong oleh momentum pertumbuhan berterusan dalam segmen runcit dan hotel berikutan pembukaan semula sepenuhnya semua sektor ekonomi dan sempadan antarabangsa.
“Kami akan terus memberi tumpuan kepada tawaran nilai tambah dalam segmen hotel untuk pelancong domestik dan antarabangsa untuk mengembangkan pasaran,” katanya. – UTUSAN










