KWSP umum senarai unit amanah dikemas kini

Skim pelaburan ahli, KWSP umum senarai unit amanah dikemas kini

kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan Senarai Kelayakan Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan dana unit amanah yang layak ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP).

Senarai yang disemak ini berkuat kuasa hari ini.

“Bagi tempoh 2023/2024, sebanyak 299 dana daripada 18 IPD telah diluluskan di bawah KWSP SPA, di mana 184 dana layak ditawarkan kepada ahli KWSP.

“Daripada dana yang layak ini, sebanyak 149 dana atau 81 peratus adalah dana tempatan dengan 104 dana atau 70 peratus adalah dana ekuiti,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan KWSP, Rohaya Mohammad Yusof berkata, buat pertama kali tahun ini, KWSP telah memasukkan dana unit amanah berasaskan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) ke dalam senarai sebagai antara komitmennya untuk menyokong pelaburan mampan serta mengarusperdanakan agenda kemampanan.

Kata beliau, KWSP menjangkakan lebih banyak dana SRI yang memenuhi kriteria penilaiannya akan disenaraikan pada masa hadapan.

“Sebagai insentif untuk menggalakkan pelaburan ahli ke dalam dana berasaskan SRI, caj jualan dikurangkan untuk transaksi yang dibuat melalui platform dalam talian i-Invest KWSP daripada 0.5 peratus kepada 0 peratus; atau tidak lebih daripada 1.5 peratus untuk transaksi melalui ejen,” tambah beliau.

Jelasnya, kesemua 299 dana yang diluluskan di bawah KWSP SPA ini dinilai setiap tahun berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh KWSP dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Dua kriteria kelayakan untuk penilaian dana termasuk prestasi yang konsisten serta prestasi relatifnya berbanding penanda aras dana.

“Ambang kelayakan yang ditetapkan untuk kriteria ini disemak dari semasa ke semasa untuk memastikan hanya dana dengan kualiti tertinggi disenaraikan,” katanya.

Di bawah SPA KWSP, ahli diberi pilihan untuk melabur dengan IPD sehingga 30 peratus daripada lebihan jumlah simpanan di dalam Akaun 1 mereka. Ini termasuk melabur dengan Syarikat Pengurusan Dana Amanah dan Syarikat Mandat Persendirian, bergantung kepada kelayakan berdasarkan Simpanan Asas.

Menurut Rohaya, sejak pelancaran platform i-Invest pada 2019, lebih kurang RM2.15 bilion telah diurusniagakan sehingga Disember 2022.

“Kami menggalakkan ahli untuk memanfaatkan i-Invest kerana ia menyediakan caj jualan pendahuluan yang lebih rendah berbanding saluran lain, lebih fleksibiliti, fungsi dan memudahkan ahli untuk melabur, berurus niaga dan
memantau dana pelaburan di dalam IPD.

“Ahli juga boleh mengakses maklumat lanjut mengenai kos pelaburan yang berkenaan dan sejarah prestasi dana. Ciri Penanda Aras Prestasi Dana dalam platform juga membolehkan ahli membandingkan prestasi dana terpilih dengan prestasi penanda aras prestasi dana mereka,” tambah beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×